![](https://www.sabahpost.net/wp-content/uploads/2025/02/bung2.jpg)
Datuk Seri Bung Moktar Radin
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Khamis menarik perhatian Dewan Rakyat dengan menyifatkan kesesakan di hospital kerajaan di Sandakan dan Kota Kinabalu sebagai satu situasi yang sangat serius hingga boleh ‘mengeluarkan air mata’.
Beliau berkata, bukan hanya sesak dan kurang fasiliti malah lebih memburukkan keadaan apabila Hospital Sandakan khasnya, turut kekurangan doktor pakar menyebabkan ramai pesakit yang menghidap penyakit kronik dari daerah itu perlu dihantar ke Kota Kinabalu, yang jaraknya kira-kira 327 kilometer atau tujuh jam perjalanan darat.
“Setiap kali ada penyakit kronik dihantar ke Kota Kinabalu, temu janji pula sudah sakit teruk baru dapat, (kadangkala) tiga minggu, satu bulan malah hingga dua bulan.
“Kalau kita pergi Jabatan Kecemasan keluar air mata melihat penuh sesak, yang sudah sakit menunggu lama, bukan tambah sihat (tetapi) tambah sakit,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan melengkapkan fasiliti di hospital berkenaan terutamanya dengan penambahan doktor pakar agar pesakit tidak perlu lagi menempuh perjalanan yang lama dan memakan kos untuk ke Kota Kinabalu.
“Binalah juga hospital baharu di Sandakan dan tambahan hospital di Kota Kinabalu sebab (kedua-dua hospital) sudah tidak mampu menampung (jumlah pesakit).
Apabila tidak menampung penuh sesak, inilah berlaku ketika ini, minta kerajaan pertimbangkan untuk wujudkan hospital baharu di dua daerah ini,” katanya.
Bung turut meminta kerajaan melihat semula perolehan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Sabah, yang dakwa beliau diberikan kepada syarikat luar bermula 2021 yang kini mencecah RM48 juta setahun.
Tindakan itu, katanya seumpama penindasan dan penafian hak kepada syarikat tempatan di Sabah yang sebenarnya juga berkemampuan untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Rakyat Sabah tidak senang hati dengan keputusan ini. Kita melihat keputusan begini mengakibatkan rakyat Sabah memberontak, apabila projek seumpama ini diberi kepada syarikat luar, sudah tentu peluang pekerjaan tidak dapat dibuat kepada belia di Sabah khususnya,” katanya.
Beliau berkata, syarikat luar ini juga tidak membelanjakan keuntungan mereka di Sabah menyebabkan ekonomi kitaran tidak berlaku sekali gus pengangguran meningkat dan Sabah terus tergolong sebagai antara negeri termiskin di Malaysia.
“Ini perlu dilihat Kementerian Kewangan serta KPM kerana ia merupakan satu diskriminasi dan menggugat syarikat tempatan Sabah yang sebenarnya mereka juga boleh melakukan kerja-kerja sebegini,” katanya. – BERNAMA
|