Seremban: Penguatkuasaan larangan memasang khemah awam di pantai Port Dickson, di sini bertujuan mengawal aktiviti itu daripada terus berleluasa pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar, berkata kerajaan negeri menyokong tindakan diambil Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) dalam usaha menangani perkara berkenaan.
"Bagi kita, tindakan MPPD itu tidak menimbulkan sebarang isu kerana ia bertujuan hendak kawal dari peringkat awal kerana jika dibiarkan pemasangan khemah berleluasa dan sesuka hati, ia akan jadi aktiviti perniagaan pada kemudiannya.
"Mereka akan bertindak menyewakan khemah berkenaan sekali gus mengulangi apa yang berlaku terhadap 'khemah biru', sebelum ini.
"Harus sedar, ia adalah pantai terbuka untuk semua, kita tahu ada dalam kalangan mereka yang tidak puas hati dengan larangan dikenakan MPPD, tapi pada masa sama, ramai juga yang memberikan sokongan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai langkah MPPD menguatkuasakan larangan memasang khemah di 11 kawasan pantai daerah peranginan itu dan tindakan segelintir warganet yang menyifatkan arahan berkenaan sebagai mengarut sehingga menyarankan supaya kawasan itu diboikot.
Dalam kenyataan MPPD sebelum ini, dinyatakan bahawa pemasangan khemah dalam apa juga bentuk adalah dilarang di sepanjang pantai awam Port Dickson dan pemilik khemah diminta segera membuka khemah masing-masing atau berdepan tindakan.
Mengulas lanjut, Arul Kumar berkata, pantai awam itu tidak boleh dipenuhkan dengan khemah.
"Jika ini berlaku, apa yang kita buat sebelum ini terhadap 'khemah biru', kita terpaksa buat untuk itu, sebab itu sekarang kita cuba kawal.
"Langkah ini juga untuk memastikan tahap kebersihan di 11 pantai berkenaan dalam keadaan baik dan memuaskan.
"Ia susulan dikesan ada kalangan mereka yang melakukan aktiviti memasang api atau memasak dalam khemah dan sebagainya.
"Ini sesuatu yang perlu kita bendung dari awal," katanya.
Larangan memasang khemah persendirian membabitkan Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Batu 1, Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Batu 5, Pantai Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai Cermin, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Dickson.
Larangan memasang khemah ditetapkan meliputi apa-apa jenis khemah, sama ada bermalam atau berkelah, riadah siang hari adalah tidak dibenarkan.
|