![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250207/0afb44d7-729c-4662-a95d-b8aaca47d368.jpeg)
TERJEJAS: Salah satu kawasan di Beaufort masih digenangi banjir.
KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah mencatatkan penambahan kepada 663 setakat jam 4 petang hari ini.
Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (JPBN), satu lagi Pusat Penempatan sementara (PPS) dibuka di Dewan Masyarakat Tambunan.
“PPS diaktifkan selepas hasil pemeriksaan di kawasan dan perumahan penduduk tidak selamat untuk didiami.
“Seramai 13 mangsa dari empat keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Beaufort mencatatkan peningkatan mangsa kepada 246 daripada 73 keluarga.
“Mangsa di Kinabatangan juga meningkat iaitu 267 daripada 68 keluarga manakala PPS Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau (MDK) dan Dewan Masyarakat Keningau kekal kepada 137 mangsa daripada 33 keluarga,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, Pusat Pemindahan Transit (PPT) di Bangunan KRT Kampung Salimandut yang menempatkan 64 mangsa ditutup selepas keadaan banjir pulih dan rumah penduduk terjejas selamat untuk didiami.
|