View: 20962|Reply: 0
|
[Tempatan]
AirBorneo, syarikat penerbangan baharu Sarawak hasil pengambilalihan MASWings.
[Copy link]
|
|
Kuching: Syarikat penerbangan baharu Sarawak yang wujud hasil pengambilalihan MASwings dinamakan sebagai AirBorneo.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, AirBorneo bersedia untuk mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi.
Beliau berkata, AirBorneo beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC) bagi meningkatkan pengalaman penumpang dengan ketara melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul.
"Ini sekali gus akan menyerlahkan prestij Sarawak sebagai destinasi pelancongan premium serantau," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli MASwings antara kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini, hari ini.
Perjanjian jual beli itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, yang mewakili Kerajaan Sarawak, manakala Datuk Kapten Izham Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan MAG mewakili MAG.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Abang Johari berkata, sebagai permulaan AirBorneo akan mengekalkan tumpuannya kepada perkhidmatan udara luar bandar (RAS) sebelum mengembangkan lagi operasi dan destinasinya pada masa hadapan.
Menurutnya, peristiwa penting dan bersejarah itu menandakan satu lagi kejayaan besar bagi Sarawak apabila memiliki syarikat penerbangan sendiri.
"Langkah strategik ini bukan hanya tentang pemilikan syarikat penerbangan tetapi juga ia adalah mengenai membuka potensi penuh Sarawak sebagai lokasi strategik untuk kemakmuran dan kemampanan ekonomi menerusi peningkatan dan pengembangan rangkaian hubungan udara.
"Kerajaan Sarawak membuat keputusan berani melabur dalam memperoleh MASwings selari dengan komitmen kami untuk meningkatkan ketersambungan serantau dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kita," katanya.
Menurutnya lagi, kawalan terhadap perkhidmatan udara amat penting, bukan sahaja untuk memudahkan pengangkutan penumpang tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
"Dengan mengambil langkah strategik ini, kami meletakkan dan mengubah Sarawak sebagai hab penerbangan untuk Borneo dan pintu masuk ke ASEAN," katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings membabitkan keseluruhan operasi dan aset.
"Malah kakitangan MASwings termasuk yang di Sabah juga turut dibawa ke dalam operasi AirBorneo," katanya.
Sumber : Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|