|
Sungai Petani: Usaha Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) 'menawan' Kedah kembali pada pilihan raya akan datang, dilihat tidak mustahil melalui gerak kerja yang teratur.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan kerajaan Islam suatu masa dulu menawan Kota Konstantinopel (kini Istanbul) wajar dijadikan sumber inspirasi dalam usaha menawan kembali negeri itu.
Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri dalam hadisnya menyebut bahawa umat Islam akan berjaya menawan Kota Konstantinopel, walaupun ketika itu dakwah baginda cuba dihalang.
"Dalam keadaan itu pun Nabi berkata 'suatu hari nanti tentera Islam akan tawan Konstantinopel, ketika itu pemimpinnya sangat hebat dan tenteranya sangat berdisplin.
"Ketika awal perjuangan Islam, orang takut dan tak sokong, tetapi Nabi Muhammad SAW tunjuk hala tuju dengan yakin suatu hari Konstantinopel akan diambil, ketika itu Konstantinopel adalah kuasa besar dunia.
"Sirah Nabi Muhammad SAW itu wajar kita ambil contoh untuk ikut, maknanya kita ini setakat untuk ambil alih Kerajaan Kedah saja, bukan nak tumpah darah, setakat nak jatuhkan Sanusi (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan Pengerusi Amanah Kedah, Asmirul Anuar Aris.
Saifuddin berkata, dalam politik terdapat gelombang pasang dan surut dengan beliau tidak menafikan kelebihan itu kini berada pada pihak Perikatan Nasional (PN).
"Sekarang gelombang ada pada dia, tetapi gelombang ada pasang surutnya, gelombang pasang itu tak akan pergi kepada 33 (kerusi Dewan Undangan Negeri PN) lagi.
"Tiba masa gelombang akan surut, gelombang pergi pada kita pula. Itulah hukum alam, kerana itu kita dengan tawaduk, penuh insaf dan sedar diri akan tunggu waktu itu," katanya.
Sementara itu, Saifuddin pada sidang media selepas program berkata, beliau tidak bimbang dengan keyakinan Muhammad Sanusi dalam mempertahankan Kedah di bawah kepimpinan PN.
"Saya tidak ada gundah-gulana dengan kenyataan Menteri Besar yang penuh yakin seperti ungkapannya suruh kita tunggu sampai kiamat. Itu adalah karakter dia, dia boleh teruskan kerana tiada siapa boleh ubah.
"Tapi tak ada siapa boleh sekat gerak kerja kita dan akhirnya kita serah kepada kebijaksanaan rakyat Kedah. Tak ada yang mustahil dalam dunia ini melainkan melalui usaha yang berterusan," katanya.
Sumber – Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|