Menurutnya, warga tempatan yang ditangkap dipercayai berperanan sebagai pemilik hartanah dan penyelia yang mengendalikan pekerja di dalam kilang yang terdiri 11 lelaki warga China, 10 lelaki dan dua wanita serta kanak-kanak warga Myanmar.
Katanya, pemeriksaan di kilang seluas 4.8 hektar itu menemukan e-waste bersama beberapa mesin pemprosesan, peleburan, masak sisa e-waste, serta makmal bagi mengurai, menentukan jenis bahan logam termasuk emas, kuprum, timah dan tembaga.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati buangan yang disyaki buangan terjadual di kilang terbabit dibawa masuk dari China serta beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Bolivia, Oman dan Thailand.
Katanya, ia dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dan dihantar menggunakan kontena diisytiharkan sebagai barangan lain.
"Pemeriksaan di keseluruhan kawasan kilang ini, kita menjumpai beberapa komponen termasuk peralatan dan jentera, untuk dibawa ke kawasan peleraian,
penguraian, dan dihancurkan ke proses peleburan, pengasingan kepada unit logam sehinggalah hasil akhir yang sudah siap dimampat.
"Kita juga menemukan sebuah makmal yang dikendalikan oleh warga asing, dipercayai untuk membuat penyelidikan dari segi kualiti dan kuantiti e-waste yang sudah diproses.
"Tangkapan turut membabitkan seorang ahli saintis warga China berusia 60 tahun yang menguruskan makmal berkenaan," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di sini, hari ini.
Menurutnya, kesemua warga China yang ditahan mempunyai dokumen masuk ke negara ini.
Namun, katanya, siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai cop keluar dan masuk ke negara ini, dan terdapat kemungkinan dokumen terbabit adalah palsu.
Warga Myanmar yang ditahan pula tidak mempunyai sebarang dokumen. Semua mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Seksyen 14 Akta sama kerana tiada lesen.