|
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi selepas berkongsi video janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan perubahan Semenanjung Gaza pada tahun 2025, lapor Metro UK.
Video tersebut dimuat naik di laman sosial miliknya, Truth Social dengan kapsyen “Gaza 2025, apa seterusnya?”
Ia menunjukkan peralihan Gaza daripada kawasan runtuhan perang kepada bandar moden dengan pantai indah, bangunan pencakar langit, dan pokok palma.
Klip berkenaan turut menampilkan jutawan teknologi, Elon Musk menikmati snek di bawah sinar matahari, manakala lagu latar berbunyi: “Trump Gaza akhirnya di sini, masa depan emas, kehidupan baru.”
Dalam adegan lain, Trump dilihat berdiri di sebelah penari gelek sementara Musk membaling wang kepada kanak-kanak yang berebut menangkapnya. Video itu berakhir dengan patung emas gergasi Trump di tengah bandar serta Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersantai tanpa baju.
Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan pembangunan semula Gaza sebagai kawasan mewah yang digelar “Riviera Asia Barat” dalam sidang media bersama Netanyahu di White House.
Bagaimanapun, video itu menerima kecaman hebat di media sosial, termasuk Instagram.
“Saya harap ini hanya satira... tapi ia adalah perkara paling gila yang pernah saya lihat,” kata pengacara Britain, James O’Brien, seperti dilaporkan Global News.
Video tersebut mencetuskan perdebatan hangat di saat konflik Gaza masih meragut ribuan nyawa. – AGENSI |
|