"Tidak… belum lagi nak ada cahaya mata. Perancangannya mesti ada, tapi bukan sekarang.
"Sekarang, saya berusia 25 tahun, mungkin pada usia 27 atau 28 tahun, insya-Allah," katanya ditemui selepas membuat persembahan pada Majlis Peluncuran 100 Lagu 100 Tahun di ibu negara, semalam.
Pada masa sama, Bunga atau nama sebenar, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, dia selesa menjalani kehidupan rumah tangga secara bersederhana tanpa terlalu berkongsi dalam media sosial.
"Sebenarnya, sebelum dan selepas berkahwin rasanya sama sahaja. Sekarang, saya juga tidak terlalu mendedahkan mengenai suami kerana kami hanya jalani kehidupan seperti biasa.
"Saya tak rasa terbeban atau lega, hanya rasa normal. Mungkin saya adalah orang yang begitu, kadang-kadang rasa nak tunjuk, saya tunjuk tapi tidaklah setiap masa. Dia (suami) ada kerja dan saya pun ada kerja sendiri.
"Bila kami rasa macam nak berkongsi sesuatu yang kelakar atau menggembirakan, kami akan buat," katanya.
Terdahulu, Bunga mengambil pendekatan merahsiakan perkahwinan bersama Amzar sehingga akhirnya membuat pengakuan selepas setahun bernikah.
Mengulas tindakan merahsiakan perkahwinan, Bunga berkata, perkara itu adalah permintaan daripada keluarga.
"Keluarga minta rahsiakan, kami turuti sahaja. Kami juga nak elak orang fikir perkara lain," katanya.
Dalam perkembangan lain, Bunga terbabit dalam projek 100 Lagu 100 Tahun kelolaan World Business Affairs Sdn Bhd dengan kerjasama Lunchai Emas Sdn Bhd.
Menerusi projek itu, Bunga menyanyikan semula lagu klasik, Ulek Mayang bersama Kaka Azraff.