Edited by JoyahMengayah at 1-3-2025 03:44 AM
Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyeru golongan selebriti agar menggunakan pengaruh mereka secara positif dengan menampilkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.
Mohd Naim berkata, beliau yakin langkah itu mampu memberi impak besar dalam membentuk masyarakat harmoni, memandangkan pengaruh selebriti sering menjadi ikutan ramai.
"Sebagai orang yang ada pengaruh, kita perlu bawa pengikut ke arah kebaikan. Semuanya bermula daripada diri kita sendiri untuk menunjukkan contoh-contoh yang baik.
"Nasihat saya kepada selebriti, pempengaruh dan semua pihak yang ada pengikut yang ramai untuk kita sama-sama tunjuk teladan yang baik kepada pengikut-pengikut.
"Ini supaya kita dapat satu membina masyarakat yang harmoni di negara kita yang tercinta selain membentuk masyarakat untuk membina akhlak dan budaya pekerti serta teladan yang baik.
"Itu pembinaan masyarakat madani yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, kena bermula daripada kita," katanya.
Mohd Na'im berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ramadan Syawal 1446H/2025 TV Alhijrah, di sini, semalam.
Semalam, Mohd Naim mengesahkan selebriti sensasi, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
Katanya, kedua-dua selebriti sudah membuat pengakuan itu di mahkamah tanpa sebarang paksaan dan secara sukarela.
Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana berkhalwat.
Pada 20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Pada 9 Mac tahun lalu, Aliff telah dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium milik Ruhainies ketika masih bergelar suami kepada pelakon, Bella Astillah.
Harian Metro
|