View: 11975|Reply: 0
|
Puasa Bukan Sekadar Lapar Dan Dahaga!
[Copy link]
|
|
Bulan yang penuh barakah tiba lagi. Mudah-mudahan Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang lebih baik untuk kita berbanding Ramadan sebelumnya. Memperbaiki diri merupakan proses yang wajib kita lakukan secara berterusan. Meskipun kita sudah berpuasa tiga puluh atau empat puluh kali Ramadan, belum tentu sama dengan sembilan kali Ramadan yang dilaksanakan oleh baginda Nabi SAW.
Meskipun fardu puasa Ramadan lewat disyariatkan, iaitu pada tahun kedua Hijrah, namun Allah SWT mengingatkan kepada umat Islam bahawa ibadah puasa ini bukanlah ibadah baharu, tetapi ia adalah ibadah yang sebelumnya turut difardukan kepada umat-umat terdahulu. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)
Antara hikmah diberitakan bahawa umat-umat terdahulu juga wajib berpuasa adalah bagi meringankan jiwa umat Islam dalam menunaikannya. Ini kerana sesuatu perintah yang agak sukar, namun jika diketahui ia membabitkan semua manusia, maka jiwa akan berasa mudah untuk menerimanya dan berasa lebih tenang untuk melaksanakannya.
Namun, tidak diketahui secara terperinci tentang bagaimana cara umat-umat terdahulu itu berpuasa. Sebahagian ulama tafsir seperti Imam al-Baghawi dan Imam as-Suyuti membawakan beberapa riwayat yang menyatakan bahawa puasa umat sebelum kita adalah dari malam sehingga malam berikutnya, sebagaimana pada permulaan Islam. Jika benar, maka ini bererti mereka dituntut berpuasa dalam jangka masa yang agak lama. Ini kerana mereka bukan sahaja perlu berpuasa pada waktu siang, bahkan perlu berpuasa juga pada waktu malam. Jadi, mereka hanya dapat makan sekali sahaja setiap hari, iaitu pada waktu berbuka.
Namun, cara berpuasa berkenaan telah dimansuhkan. Umat Islam kemudian hanya wajib berpuasa pada waktu siang sahaja. Adapun pada waktu malam, mereka dibenarkan untuk makan minum seperti biasa. Malah, sebelum terbit fajar, umat Islam digalakkan untuk bersahur hingga bersahur ini menjadi pembeza antara puasa umat Islam dan puasa umat terdahulu. Daripada
'Amru bin al-'As RA bahawa Rasulullah SAWbersabda: "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur." (Riwayat Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)
Bersahur juga mengandungi keberkatan yang dapat membantu umat Islam bagi menjalani ibadah puasa di siang hari. Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAWbersabda: "Bersahurlah kamu sekalian, kerana pada bersahur itu ada barakah (keberkatan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bukan itu sahaja, orang yang bersahur juga mendapat rahmat Allah SWT dan doa daripada para malaikat. Abu Sa'id al-Khudri RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Makan sahur itu mempunyai barakah (keberkatan), maka janganlah kamu meninggalkannya, meskipun seseorang daripada kamu hanya minum seteguk air. Sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang bersahur." (Riwayat Ahmad dalam Musnadnya. Hadis hasan)
Sebelum betul-betul terbit fajar, umat Islam disunatkan untuk melakukan imsak, iaitu berhenti daripada makan dan minum sebagai langkah berhati-hati. Anas RA meriwayatkan daripada Zaid Ibn Thabit RA katanya: "Kami pernah bersahur bersama Nabi SAW, kemudian baginda SAW bangkit untuk mendirikan solat." Anas bertanya: "Berapakah (jarak masa) antara azan (subuh) dengan sahur itu?" Zaid menjawab: "Dalam ukuran bacaan lima puluh ayat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sepanjang berpuasa umat Islam hendaklah menjaga seluruh anggotanya daripada melakukan perkara maksiat, selain dianjurkan untuk memenuhi masa dengan amal ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Purata tempoh kita berpuasa pada setiap hari adalah lebih kurang sekitar 13 jam. Maka, tentunya bertambah sangat rugi orang yang gagal menahan nafsunya daripada berbuat dosa sepanjang tempoh ini. Daripada Abu Hurairah RA katanya, bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan bercakap bohong dan berkelakuan keji lagi buruk (sedangkan dia berpuasa), maka tidak ada gunanya di sisi Allah dia meninggalkan makan dan minumnya (selain daripada lapar dan dahaga sahaja yang diperolehinya)." (Riwayat al-Bukhari)
Setelah masuk waktu berbuka, umat Islam digalakkan pula untuk menyegerakan berbuka puasa dan tidak melengah-lengahkannya. Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Manakala Abu Hurairah RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'Azza wa Jalla berfirman: "Sesungguhnya hamba-Ku yang paling Aku kasihi ialah orang yang paling segera berbuka puasa." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan gharib)
Sumber: Harian Metro
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
| |
|