Edited by JoyahMengayah at 7-3-2025 08:01 AM
Narathiwat: Penyanyi 'Bae Soba Bae', yang dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada tuduhan memiliki 6,059 pil yaba, meminta keluarga tidak risau mengenainya selepas dihantar semula ke penjara hari ini.
Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, menyampaikan pesanan ini kepada bapanya, Wan Ismail Wan Yusoff, dalam pertemuan singkat sejurus mahkamah membuat keputusan.
Terdahulu, Eda Ezrin dan suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim terhadap Wan Norshaheeda dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti kesemua keterangan saksi pendakwaan semasa prosiding perbicaraan berlangsung.
Selain meminta mereka supaya tidak bimbang, Wan Ismail berkata anak sulungnya turut memintanya menjaga dua anaknya.
"Dalam pertemuan singkat yang berlangsung kira-kira 10 minit itu, saya beritahu Eda Ezrin supaya fokus kepada kesihatan dan terus memohon keampunan Allah.
"Saya juga menasihatinya supaya tidak melewatkan waktu makan dan sentiasa ingat keluarga sangat menyayanginya, walau apa pun yang berlaku.
"Saya turut memberitahunya bekas isteri saya, Zahara Mamat serta ibu tirinya, Zuraihan Mahmod, akan sentiasa menyokongnya," kata lelaki berusia 52 tahun itu.
Wan Ismail berkata anak Eda Ezrin, iaitu Raykal, 9 dan Baby Faira, 5, dijaga oleh nenek mereka.
"Sebelum perbualan kami berakhir, saya ingatkan Eda Ezrin yang ibu dan ibu tirinya sentiasa berada di sisinya.
"Kita juga berdoa supaya dapat dipertemukan dan menyambut Aidilfitri kelak," katanya.
Harian Metro
|