|
|
KUALA LUMPUR: Lambakan kenderaan buatan China di pasaran memberi kesan ketara terhadap Bermaz Auto Bhd apabila jualan domestik Mazda dan Kia masing-masing merosot sebanyak 37.7 peratus dan 41.7 peratus tahun ke tahun, menyebabkan penurunan hasil kumpulan sebanyak 32.8 peratus kepada RM602.1 juta.
Penganalisis MIDF Research, Amalia Zarif, berkata suku ketiga tahun kewangan 2024 syarikat mencatatkan asas perbandingan yang tinggi bagi Mazda, didorong oleh momentum jualan kukuh model CX-30 CKD sejak pelancarannya pada Mac 2023.
"Operasi di Filipina juga terjejas, dengan jualan Mazda merosot hampir separuh kepada 305 unit, manakala syarikat bersekutu yang terlibat dalam pemasangan tempatan turut mencatatkan kejatuhan ketara dalam perkongsian hasil, jatuh sebanyak 96.5 peratus tahun ke tahun.
"Ini mengakibatkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) menyusut ketara kepada RM23.4 juta iaitu sebanyak 66.6 peratus tahun ke tahun, dan margin mengecil sebanyak 3.9 mata peratusan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Amalia berkata, suku penuh pertama jualan jenama XPeng menyaksikan hasil kumpulan merosot 6.9 peratus suku ke suku berbanding suku kedua tahun kewangan 2025, sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan jualan domestik Mazda sebanyak 11.6 peratus berbanding suku sebelumnya.
"Jualan Mazda di Filipina turut mengalami penurunan ketara sebanyak 33.8 peratus berbanding suku sebelumnya. Namun, kejatuhan ini sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jualan jenama XPeng, yang ketika ini hanya menawarkan model G6, dilancarkan pada pertengahan suku kedua tahun kewangan 2025.
"Jualan jenama ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 341 unit, manakala jenama Kia mencatatkan peningkatan jualan 45.5 peratus kepada 259 unit, didorong oleh pelancaran model Kia Sportage generasi kelima pemasangan tempatan (CKD) pada Disember 2024.
"Walaupun mengalami kelewatan penghantaran pada pertengahan Januari, model ini berjaya mencatatkan jualan sebanyak 88 unit," katanya.
Beliau berkata, berikutan prestasi pendapatan yang mengecewakan, unjuran jumlah jualan kenderaan Bermaz Auto disemak dengan penurunan sebanyak 14 peratus bagi tahun kewangan 2025, 15 peratus bagi tahun kewangan 2026, dan 16 peratus bagi tahun kewangan 2027.
"Selain itu, pelarasan kecil terhadap perbelanjaan operasi telah menyebabkan unjuran pendapatan dikurangkan sebanyak 28 peratus, 27 peratus dan 29 peratus untuk tahun-tahun berkenaan.
"Faktor pemacu utama yang boleh meningkatkan prestasi syarikat adalah permintaan lebih tinggi daripada jangkaan bagi model baharu dan akan datang," katanya.
Sumber: BH Online
|
|