View: 32341|Reply: 0
|
Muntah susu normal atau petanda masalah lain? Ketahui cara atasinya, perut bayi selesa, ibu gembira
[Copy link]
|
|
HAMPIR semua bayi mengalami muntah susu.
Namun, bagaimana ibu bapa boleh mengetahui sama ada keadaan itu sesuatu yang normal atau tanda-tanda kepada masalah kesihatan lebih serius?
Muntah susu atau refluks dikenali sebagai gastroesophageal reflux (GER) berlaku apabila kandungan perut bergerak naik ke dalam esofagus, kadangkala sehingga ke mulut dan hidung.
Pakar pediatrik, Dr. Anthony Porto berkata, GER dalam kalangan bayi dianggap keadaan biasa dan lazimnya tidak menyebabkan ketidakselesaan yang ketara.
"Bayi yang mengalami GER tanpa sebarang kesan buruk sering digelar sebagai 'happy spitters' kerana mereka tidak meragam atau kelihatan sakit selepas muntah susu," katanya.
Antara simptom GER termasuk masalah penyusuan ringan seperti tempoh penyusuan yang lebih lama atau terganggu.
"GER lazimnya bermula sekitar usia dua hingga tiga minggu dan memuncak ketika bayi berusia empat hingga lima bulan
"Kebanyakan bayi yang lahir cukup bulan akan pulih daripada GER apabila mencapai usia sembilan hingga 12 bulan, seiring dengan kematangan sistem pencernaan mereka," katanya.
Namun, jika refluks berlaku secara berterusan dan disertai simptom lain yang lebih serius, ia mungkin menandakan penyakit gastroesophageal reflux disease (GERD).
Tidak seperti GER, GERD boleh membawa kepada komplikasi akibat asid perut yang berlebihan.
Justeru, ibu bapa disaran berjumpa pakar pediatrik jika bayi menunjukkan tanda-tanda berikut:
- Enggan menyusu atau menangis ketika menyusu sambil melengkungkan badan ke belakang seperti mengalami kesakitan.
- Muntah mengandungi darah atau berwarna kehijauan.
- Kekerapan atau intensiti muntah semakin meningkat.
- Perut kelihatan kembung.
- Mengalami masalah pernafasan.
- Berat badan tidak bertambah atau bilangan lampin basah dan kotor berkurangan secara mendadak.
Dalam pada itu, Persatuan Pediatrik Amerika (AAP) menekankan bahawa kepentingan mengenal pasti serta merawat refluks dalam kalangan bayi dengan tepat bagi mengelakkan rawatan atau kos yang tidak perlu.
Doktor akan menilai simptom bayi dan pola pemakanannya, selain mencatat pertumbuhan bayi pada carta perkembangan bagi menentukan sama ada mereka hanya mengalami GER biasa atau GERD yang memerlukan perhatian lanjut.
Jelas Anthony, bagi kebanyakan bayi yang mengalami GER, masa adalah penyelesaian terbaik.
"Perubahan gaya hidup seperti menukar posisi penyusuan atau kekerapan penyusuan merupakan langkah utama dalam menguruskan GER dan GERD," katanya.
Jika GERD berada pada tahap serius, rawatan mungkin melibatkan penggunaan ubat-ubatan untuk mengurangkan atau meneutralkan asid perut.
Dalam kes yang jarang berlaku, pembedahan mungkin diperlukan untuk merawat masalah.
Cara kurangkan muntah susu:
- Menyendawakan bayi pada waktu rehat semasa penyusuan.
- Memastikan bayi dalam posisi tegak sekurang-kurangnya 30 minit selepas menyusu.
- Memberikan susu dalam kuantiti kecil, tetapi lebih kerap.
- Bagi bayi yang diberi susu botol, doktor mungkin mencadangkan untuk menambahkan sedikit bijirin bayi dalam susu formula bagi mengurangkan refluks. Bagaimanapun, itu hanya boleh dilakukan dengan nasihat doktor.
- Jika bayi menunjukkan simptom alahan susu, ibu menyusu mungkin disarankan untuk mengelakkan produk tenusu, manakala bayi yang diberi susu formula mungkin perlu bertukar kepada formula khas.
Sekiranya bayi tidak menunjukkan perkembangan positif atau mengalami komplikasi seperti pertambahan berat badan yang tidak mencukupi, pakar pediatrik mungkin akan merujuk bayi kepada pakar gastroenterologi pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.
Pakar akan menilai sejarah perubatan bayi, memeriksa diet dan carta pertumbuhan, serta memutuskan sama ada ujian tambahan atau perubahan dalam rawatan diperlukan.
Walaupun muntah susu sering menjadi kebimbangan bagi ibu bapa, kebanyakan kes GER tidak memerlukan rawatan perubatan dan akan hilang dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar.
Namun, jika terdapat sebarang tanda-tanda yang membimbangkan, mendapatkan nasihat doktor adalah langkah terbaik bagi memastikan kesejahteraan bayi. — The Star/DR ANTHONY PORTO
Sumber: Majoriti
|
|
|
|
|
|
|
| |
|