 Beli slot temujanji PUSPAKOM RM3.50, runner jual semula hingga RM750
SHAH ALAM: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) mendedahkan, ada orang tengah atau 'runner' mengaut keuntungan hampir RM750 bagi jualan slot tempahan janji temu berganda di premis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata antara taktik digunakan adalah menggunakan nombor casis sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan adalah berbeza untuk slot tempahan yang banyak.
"Satu slot janji temu hanya berharga RM3.50 namun ada yang menjual sehingga RM750.
"Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (runner terlibat)," katanya pada sesi taklimat susulan tinjauan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli ke PUSPAKOM Shah Alam, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dipetik berkata, PUSPAKOM tidak akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda selepas ini bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan
Aedy Fadly menegaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.
"Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain untuk dapatkan runner tersebut," katanya.
Sumber: BH |