|
|
BANGI: Sejak Ogos tahun lalu, Kompleks Hentian Bas Kajang semakin rancak dengan aktiviti perbukuan terutama pada hujung minggu.
Dikenali sebagai Hentian Buku Selangor, hujung minggu di situ juga meriah dengan pelbagai acara antaranya diskusi buku dan persembahan muzik. Semua kerancakan itu bermula semenjak Pertubuhan Kota Buku Bangi (PKBB) yang awalnya beroperasi di Bazar Karat Bangi Streetmall pada tahun 2022, berpindah ke situ.
Pengerusi PKBB, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau dikenali juga sebagai SM Zakir, berkata tingkat dua Kompleks Hentian Bas Kajang sebelum ini agak malap kerana kurangnya peniaga, walaupun operasi di tingkat bawah lancar seperti biasa.
Katanya, hal itu bagaimanapun tidak mematahkan hasrat PKBB untuk mewujudkan sebuah hub buku di Bangi sekali gus di Selangor dan kompleks itu dilihat sebagai pilihan terbaik. Malah ketika ini terdapat hampir 10 kedai menjual pelbagai genre bacaan sama ada baharu atau terpakai beroperasi.
"Sejak April tahun lalu, satu demi satu peniaga buku yang berdaftar dengan PKBB seperti Nusa Centre, GMS, Bonda Zaleha, Komikkita, MJ Bookstore, dan Lepau Buku berpindah ke sini.
"Ia diikuti oleh peniaga buku lain seperti Timbunan (Pelita Dhihin), Biblio dan Coretan Buku En Halim.
"Di sini, kami tidak hanya menjual buku baharu tetapi juga naskhah terpakai, buku langka, buku nadir daripada semua genre sosial, budaya, agama, sejarah, falsafah, sastera, pop, seram, cinta, komik, kanak-kanak dan sebagainya," katanya.
Hentian Buku Selangor katanya, memberi ruang kepada peminat buku untuk mendapatkan bahan bacaan fizikal yang sukar didapati di pasaran. Jadi, tidak hairan untuk melihat buku terpakai menjadi tarikan utama di Hentian Buku Selangor kerana dijual pada harga rendah dan mampu milik.
"Kami tidak memilih judul tertentu untuk jualan, sebaliknya menjual semua jenis buku yang ada tanpa memikirkan aspek komersial. Apa yang penting adalah nilai ilmu yang terdapat dalam buku itu.
"Buku ilmiah, pendidikan, dan koleksi langka juga banyak dijual di sini bagi memenuhi keperluan masyarakat yang mempunyai minat bacaan berbeza-beza," katanya.
Tambahnya, perbezaan konsep Hentian Buku Selangor dengan kedai buku tradisional terletak pada saiz kedai yang lebih kecil dengan kos pengurusan rendah selain harga buku yang boleh dirunding secara langsung dengan pemilik kedai tanpa membabitkan orang tengah.
"Jika buku berharga RM15, pembeli boleh berunding untuk mendapatkan harga RM10 secara terus dengan pemilik kedai. Ini salah satu kelebihan yang kami tawarkan kepada pembeli.
"Lebih banyak kedai kecil dibuka dalam kelompok membolehkan kami menawarkan lebih banyak pilihan buku pada harga berpatutan," ujarnya.
Malah katanya, penerbit tempatan termasuk syarikat penerbitan besar seperti Buku Fixi turut menunjukkan minat bekerjasama dengan Hentian Buku Selangor dalam memasarkan karya mereka.
SM Zakir berkata, Hentian Buku Selangor dibina dengan konsep bazar buku iaitu himpunan kedai buku kecil yang dijaga oleh pemiliknya sendiri.
Hal ini lebih menjimatkan kos pengurusan dan memudahkan pembeli mendapat harga yang murah daripada pemiliknya sendiri.
"Setakat ini sambutan pembeli sangat baik namun selari dengan kaedah pemasaran hari ini, penjualan buku tidak terhad kepada kaedah fizikal semata-mata.
"Sebelum ini ramai orang agak skeptikal dengan buku fizikal disebabkan kemaraan teknologi maklumat, namun berdasar pengalaman saya sebagai penulis dan penjual buku, jualan naskhah fizikal kekal mendapat permintaan tinggi," katanya.
Kongsinya lagi, sambutan pengunjung ke hentian itu sangat menggalakkan terutama pada hujung minggu, yang turut dimeriahkan dengan pasar buku, forum atau wacana buku diadakan.
Kebanyakan yang berkunjung pula selain memang pembaca tegar, pengumpul dan penulis, sebahagian besarnya adalah orang awam, pelajar dan golongan profesional.
"Walaupun mendapat sambutan, kami tetap berusaha untuk menarik lebih ramai khalayak berkunjung ke sini dengan membuat lebih banyak promosi.
"Dalam masa sama, aktiviti seperti perbincangan mengenai buku dan hal-hal lain perlu diteruskan," katanya.
Beliau berkata, PKBB turut menganjurkan forum bulanan yang ditaja Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) selain memberi ruang kepada pempamer luar untuk menyertai pasar buku yang diadakan setiap hujung bulan.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|