CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 382|Reply: 0

Anak kelahiran Muar dilantik CEO Intel, pacu kebangkitan syarikat teknologi gergasi AS

[Copy link]
Post time 20-3-2025 05:36 PM | Show all posts |Read mode

FIRMA teknologi terkemuka dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Intel Corp mengumumkan pelantikan Tan Lip-Bu yang juga anak kelahiran Malaysia sebagai ketua pegawai eksekutifnya yang baharu berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Perkembangan itu mendapat liputan meluas dengan ramai pemerhati kini sedang melihat strategi bakal dilaksanakan oleh beliau bagi memulihkan syarikat gergasi cip tersebut.

Lip-Bu mengambil alih jawatan daripada Pat Gelsinger yang dipecat kira-kira tiga bulan lalu selepas pelan melibatkan kos agak mahal dan bercita-cita tinggi untuk meningkatkan prestasi firma itu dilihat tidak meyakinkan sehingga melemahkan keyakinan pelabur.

Dalam pada itu, pelantikan Lip-Bu juga dijangka menarik perhatian Donald Trump, apabila Presiden AS itu dilaporkan tidak sabar untuk melihat kebangkitan Intel.

Ia berikutan Trump ketika ini dalam usaha meningkatkan sektor pembuatan di negara berkenaan dan turut mengancam melaksanakan tarif ke atas import yang menjejaskan pasaran global selama berminggu-minggu.

Penganalisis bebas, Jack Gold memberitahu Reuters bahawa Lip-Bu dapat memanfaatkan pengalaman dimiliki terutamanya hubungan industri sambil memastikan kecemerlangan Intel.

Untuk rekod, Lip-Bu bergerak dalam lingkungan sosial yang sama seperti Lisa Su daripada Advanced Micro Devices dan Jensen Huang (Nvidia), iaitu dua syarikat peneraju pemimpin cip kecerdasan buatan (AI) yang menurut Reuters dicadangkan untuk membuat pelaburan ke dalam Intel.


Dilahirkan di Muar pada 1959, Lip-Bu dibesarkan di Singapura dan mendapat pendidikan di sana sebelum menamatkan pengajian daripada Universiti Nanyang dengan Ijazah Sarjana Muda Sains, pengkhususan dalam fizik.

Beliau kemudiannya menamatkan pengajian Sarjana Sains dalam kejuruteraan nuklear di Massachusetts Institute of Technology (MIT), AS.

Beliau kemudiannya memegang kewarganegaraan AS seterusnya memulakan pengajian kedoktorannya dalam kejuruteraan nuklear di MIT, sebelum berpindah ke Universiti San Francisco di California sehingga menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan mengasaskan firma modal teroka Walden International pada 1987.

Sebagai individu yang turut pernah menjadi bekas ahli lembaga Intel, beliau sememangya dilihat sebagai individu yang dijangka mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan lebih-lebih lagi dengan pengalaman luas dalam industri cip.

Ini termasuk statusnya sebagai pelabur senior yang banyak melakukan pelaburan kepada syarikat baharu berpotensi.

Misalnya, beliau pernah membeli kepentingan dalam Annapurna Labs, sebuah syarikat permulaan yang kemudiannya dibeli oleh Amazon.com Inc pada harga AS$370 juta (RM1.6 bilion) dan menjadi pemacu utama pembangunan cip dalaman gergasi platform dalam talian tersebut.

Bukan itu sahaja, Lip-Bu juga melabur dalam Nuvia, yang dibeli Qualcomm pada harga AS$1.4 bilion (RM6.2 bilion) sekitar 2021, menjadikannya bahagian penting dalam usaha syarikat terbabit bersaing dengan Intel dalam pasaran cip komputer riba dan PC.

Beliau juga kekal aktif terlibat dengan syarikat pemula sama ada yang boleh menjadi pesaing atau sasaran pemerolehan untuk Intel.


Perkara itu dapat ditonjolkan dengan fakta bahawa pada awal minggu ini, beliau melabur dalam syarikat pemula teknologi fotonik AI, Celestial AI, disokong oleh pesaing Intel iaitu Advanced Micro Devices.

Dalam surat kepada pekerja Intel pada Rabu (13 Mac 2025), Lip-Bu berkata: "Bersama-sama, kita bekerja keras untuk memulihkan kedudukan Intel sebagai syarikat produk bertaraf dunia, mengukuhkan diri sebagai pengeluar bertaraf dunia dan menggembirakan pelanggan kita seperti yang tidak pernah berlaku sebelum ini."

Saham Intel melonjak 12 peratus dalam dagangan lanjutan pada Rabu, dan penganalisis mengalu-alukan langkah yang menurut mereka mungkin akan membawa kestabilan kepada pembuat cip itu.

Untuk rekod, saham Intel mengalami kemerosotan sebanyak 60 peratus pada 2024.

Dari 2009 hingga 2021, Lip-Bu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Cadence Design Systems, sebuah firma perisian reka bentuk cip yang nilai operasinya dihidupkan semula dengan memfokuskan Cadence menjadi pembekal membekalkan perisian untuk reka bentuk canggih dan bekerjasama rapat dengan Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC).


Semasa Lip-Bu berada di Cadence, saham firma itu meningkat 3,200 peratus dan ia menjadikan Apple sebagai salah satu pelanggan terbesarnya, dengan pengeluar Iphone itu beralih daripada pembekal seperti Intel bagi mencipta cipnya sendiri.

Alat dikeluarkan Cadence juga menjadi pusat kepada firma industri cip seperti Broadcom, yang membantu antaranya Google dan Amazon untuk mereka bentuk cip AI mereka sendiri dengan proses pembuatannya dilakukan TSMC.

Intel kini sedang mengalami peralihan bersejarah dengan ia kini cuba untuk kembali bangkit daripada salah satu tempoh paling suram pernah dilalui oleh syarikat itu.

Dengan situasinya bergelut mendapatkan keuntungan dalam pelaburan pesat dalam cip AI canggih yang telah meningkatkan kekayaan peneraju pasaran Nvidia dan pembuat cip pesaingnya, syarikat itu berbelanja besar untuk menjadi pengeluar kontrak cip bagi syarikat lain, menyebabkan sesetengah pelabur bimbang tentang tekanan ke atas aliran tunainya. — The Star

Sumber: Majoriti

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-11-2025 08:27 PM GMT+8 , Processed in 0.047373 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list