|
|
KUALA LUMPUR: Public Bank dan Public Islamic Bank menawarkan bantuan bayaran balik kepada pelanggan pinjaman dan pembiayaan yang terjejas akibat bencana banjir di Johor.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bencana itu telah memberi kesan besar kepada ramai mangsa yang menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan seharian.
"Menyedari keperluan ini, Public Bank komited untuk membantu meringankan beban pelanggan yang terjejas dengan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang mengalami kerugian akibat banjir," katanya dalam kenyataan.
Bantuan bayaran balik itu turut merangkumi daerah lain yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan terjejas banjir. Kemudahan ini termasuk penangguhan ansuran bulanan bagi pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan.
Ia melibatkan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli, serta kad kredit bagi pelanggan individu, selain pinjaman dan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan.
Bank itu juga akan mengecualikan caj bagi penggantian dokumen berkaitan perbankan seperti kad bank, buku akaun bank serta resit Deposit Tetap/Deposit Bertempoh-i yang musnah atau hilang akibat banjir.
Pada masa sama, Public Bank bekerjasama dengan syarikat subsidiarinya, Lonpac Insurance Bhd, untuk mempercepatkan proses tuntutan bagi pelanggan yang memiliki perlindungan insurans di bawah polisi ditaja jamin Lonpac.
Selain itu, bank berkenaan turut menyertai Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia, yang merangkumi pembaikan dan/atau penggantian aset perniagaan seperti loji dan jentera yang rosak akibat banjir, serta keperluan modal kerja.
Pelanggan yang ingin memohon bantuan bayaran balik atau mendapatkan maklumat lanjut boleh mengunjungi cawangan Public Bank atau menghubungi talian 03-2170 8000.
Bagi tuntutan insurans, pelanggan boleh menghubungi Lonpac di talian 03-2262 8688. — BERNAMA
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|