|
KUALA LUMPUR: Peneraju industri kosmetik organik, Alha Alfa Cosmetics kini dalam perancangan menembusi pasaran antarabangsa secara agresif khususnya di negara jiran seperti Indonesia, Singapura, dan Brunei.
Pengasas Alha Alfa Cosmetics yang juga jurusolek terkenal, Datuk Seri Alha Alfa, berkata disebabkan setiap negara mempunyai regulasi kosmetik berbeza, pihaknya perlu memastikan produk dipasarkan memenuhi piawaian dan mendapatkan lesen kelulusan.
"Untuk menembusi pasaran luar, kami perlu menyesuaikan strategi pemasaran dengan menonjolkan nilai unik produk tempatan.
"Penghantaran antarabangsa juga memberi cabaran dari segi kos dan kecekapan pengedaran, jadi kami perlu mencari pengedar tempatan bagi memudahkan operasi.
"Kami percaya kualiti produk, strategi harga yang betul, dan kekuatan pemasaran digital akan membantu jenama ini berkembang ke peringkat global," katanya kepada BH.
Beliau berkata, bagi pasaran tempatan ketika ini Alha Alfa sudah membuka enam cawangan fizikal termasuk di IOI City Mall, MyTown, Toppen JB dan Bangi Sentral dengan perancangan menambah lebih banyak di lokasi strategik.
"Walaupun TikTok Shop, Shopee dan e-dagang memberikan keuntungan besar, cawangan fizikal masih penting kerana ramai pengguna mahu menguji produk sebelum membeli terutama bedak asas (foundation), barangan penjagaan kulit dan produk bibir.
"Kewujudan cawangan di pusat beli-belah juga membantu membina kredibiliti jenama dan menunjukkan Alha Alfa, jenama kosmetik stabil dan boleh dipercayai," katanya.
Menurutnya, pelbagai strategi penjenamaan digunakan dalam mengekalkan daya saing di pasaran antaranya gabungan antara inovasi, strategi digital dan pemahaman mendalam terhadap pasaran tempatan.
Katanya, antara strategi utama, 'influencer marketing' iaitu bekerjasama dengan selebriti, pempengaruh TikTok dan 'jurusolek artis' profesional bagi memastikan jenama Alha Alfa kekal relevan di media sosial.
"Kami turut aktif menggunakan kandungan digital dan edukasi seperti platform YouTube dan media sosial untuk berkongsi tutorial dan tip solekan.
"Pada masa sama, kami juga menggunakan pengalaman pelanggan berikutan produk kami direka khas untuk jenis kulit dan cuaca di Malaysia dengan menggunakan bahan berkualiti pada harga berpatutan.
"Kami juga memberikan pengalaman pembelian eksklusif melalui butik kedai Alha Alfa dan tutorial solekan serta 'meet & greet' dengan saya sendiri," katanya.
Alha berkata, dalam era digital semakin pesat pihaknya melihat ia sebagai peluang besar untuk mengembangkan jenama dan menggunakan pelbagai strategi.
Mengenai cara menguruskan risiko kewangan dalam perniagaan, terutama ketika berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi Alha berkata, dalam dunia perniagaan, risiko kewangan sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, pendekatan berhati-hati dan strategik diambil seperti mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada jualan produk solekan dan penjagaan kulit, tetapi juga kepada media hiburan, dan terbaharu, pelancongan.
"Kami juga mengawal ketat kos operasi secara dengan memastikan setiap pelaburan mempunyai pulangan berbaloi, selain mewujudkan dana kecemasan.
"Bagi mengelakkan pembaziran sumber, pembangunan produk dibuat berdasarkan permintaan pasaran dengan menganalisis trend dan permintaan pasaran sebelum melancarkan produk baharu," katanya.
Pada masa sama, Alha berkata, dalam membangunkan jenama beliau lebih cenderung kepada pertumbuhan organik sebagai asas kukuh. Kaedah ini dapat mengekalkan nilai dan keunikan Alha tanpa perlu berkompromi dengan kehendak pelabur luar.
"Kami juga lebih suka membina hubungan kukuh dengan pelanggan dan penyokong jenama secara organik kerana ini memberi impak jangka panjang.
"Kami turut mengekalkan fleksibiti dan keputusan strategik dengan tiada tekanan pelabur luar. Ini membolehkan kami membuat keputusan lebih bebas, sama ada dalam inovasi produk, pemasaran atau hala tuju jenama.
"Namun, kami tetap terbuka kepada peluang kerjasama atau pelaburan luar jika ia selaras dengan visi dan nilai jenama Alha Alfa," katanya.
Berkenaan transformasi dan inovasi produk Alha berkata, faktor utama diambil kira adalah memenuhi standard industri kecantikan. Ia termasuk keselamatan dan piawaian kualiti berikutan produknya diformulasikan mengikut standard Good Manufacturing Practice (GMP).
"Kami memastikan semua bahan digunakan adalah selamat, halal dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Lebih penting harganya berpatutan dan aksesibiliti," katanya.
Alha berkata, selain itu pihaknya sentiasa berusaha mengadaptasi teknologi terkini dalam kecantikan bagi memastikan jenama itu berada di hadapan dalam pasaran.
Beliau turut mengakui, terdapat cabaran dalam menguruskan rantaian bekalan terutama bagi memastikan kualiti bahan mentah, kos pengeluaran, dan pengedaran kekal efisien.
"Menguruskan rantaian bekalan adalah aspek penting dalam memastikan jenama terus berkembang.
Justeru, kami mengambil langkah bekerjasama dengan pembekal dipercayai dan memastikan bahan mentah melalui proses kawalan kualiti yang ketat sebelum digunakan.
Alha berkata, beliau turut menggunakan pendekatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan produk Alha Alfa memenuhi keperluan pasaran sertaj memberikan kelebihan kompetitif.
Menurutnya lagi, industri kecantikan Malaysia berkembang dengan pesat, terutama dengan kemasukan jenama antarabangsa serta kemunculan jenama tempatan yang semakin kompetitif.
Beliau melihat persaingan itu sebagai satu peluang dan bukannya ancaman serta percaya, pengguna kini lebih bijak dalam memilih produk.
"Saya juga ingin melihat industri kecantikan tempatan tidak lagi dipandang rendah atau dibandingkan dengan jenama luar.
"Ini kerana saya percaya kecantikan bukan sekadar produk, tetapi satu industri yang membina keyakinan diri dan mencipta peluang untuk ramai orang dan itulah legasi ingin saya tinggalkan," katanya. - BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|