Tak semua tahu resepi asam pedas daging yang betul-betul padu dan tak liat. Jangan risau, dengan perkongsian daripada Mizah Ngatiman ini, asam pedas anda dijamin lembut elok teksturnya!
Menurutnya, petua ini sebenarnya dikongsi oleh Dato’ Rizalman dalam rancangan Pung Pang Rizalman suatu ketika dahulu. Dalam rancangan itu, Raja Permaisuri Tunku Azizah turut berkongsi tip masak asam pedas yang sedap kepada beliau. Jom kita tengok perkongsiannya.
RESEPI ASAM PEDAS DAGING CAMPUR TETEL
Bahan-bahan:
1 bekas isi daging dan tetel
20 tangkai cili kering – direbus*
2 sudu besar biji ketumbar*
5 ulas bawang putih*
1 biji bawang besar*
2 inci halia*
2 inci lengkuas*
1 inci kunyit hidup*
1 batang serai – diketuk
2 sudu besar pes asam jawa
Bahan yang bertanda (*) perlu dikisar.
Bahan-bahan untuk penyedap rasa:
Daun kesum
Bunga kantan
Daun limau purut
Cara-cara memasak:
Tumis bahan kisar dengan api kecil sehingga pecah minyak dan naik bau yang wangi.
Masukkan daging dan tetel. Biarkan sehingga air daripada daging dan tetel kering.
Tutup kuali dan gunakan api sederhana kecil.
Tunggu sehingga pecah minyak sekali lagi.
Setelah pecah minyak, tambahkan air secukupnya untuk melembutkan daging dan tetel.
Apabila air hampir kering, masukkan serai, daun kesum, daun limau purut dan bunga kantan.
Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
Akhir sekali, masukkan pes asam jawa.
Biarkan kuah menjadi pekat, kemudian tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
|