
AZIZAH
KOTA KINABALU: Usaha Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Hajiji Noor bagi memperkasakan wanita di Sabah disokong penuh.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, usaha itu akan memperkasakan wanita di Sabah melalui akses yang lebih besar kepada peluang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik.
Katanya, pemerkasaan wanita bukan sekadar isu kesaksamaan, tetapi merupakan pemacu utama pembangunan mampan di Sabah.
“Kami menyambut baik seruan Ketua Menteri yang disifatkan sebagai tepat pada masanya dan selari dengan visi IDS untuk memperkukuh kepimpinan wanita di semua peringkat masyarakat. Melabur dalam wanita bermakna melabur untuk masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, IDS telah mengambil langkah proaktif ke arah ini menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif, khususnya melalui penubuhan Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC) pada 10 Julai 2024.
"WLIC diwujudkan untuk memajukan kepimpinan wanita, menyediakan pembangunan profesional sepanjang kerjaya, mengukuhkan penyertaan wanita dalam ekonomi dan keusahawanan, serta menawarkan bimbingan dalam bidang sosio-ekonomi utama.
"Sejak penubuhannya, WLIC telah menganjurkan beberapa pertemuan berimpak tinggi yang bertujuan menguatkan suara wanita dan memupuk kerjasama pelbagai sektor," katanya.
Menurutnya, antara program itu termasuklah penganjuran Sesi Meja Bulat bersama Agensi Kerajaan pada 11 November 2024, Town hall Bajet Wanita Negeri Sabah pada 11 Januari 2025, Sesi Meja Bulat bersama GLC dan sektor swasta pada 28 Februari 2025 serta Sesi Meja Bulat bersama NGO pada 18 Mac 2025.
Katanya, semua platform itu membolehkan pihak berkepentingan menyumbangkan input strategik terhadap dokumen berkaitan dasar utama di peringkat negeri, termasuk Pelan Induk Kepimpinan Wanita Negeri Sabah yang akan datang yang dijangka menjadi asas kepada penubuhan Kementerian Wanita Negeri.
"Saya yakin WLIC mampu berperanan sebagai mekanisme pemantauan yang berkesan bagi merealisasikan kemajuan dalam usaha meningkatkan penyertaan wanita di peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan," katanya.
Sementara itu katanya, selaras dengan Belanjawan Negeri 2025, IDS bersama rakan strategik, Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) telah melancarkan Program Keusahawanan Wanita Muda: Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG) yang dilancarkan pada 27 Februari 2025.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memperkasa usahawan wanita muda terutamanya di kawasan luar bandar dan membantu menangani jurang gender dalam penyertaan ekonomi sambil merangsang pembangunan sosioekonomi yang lebih luas.
"Program DAYANG bukan sekadar menawarkan pembiayaan, ia juga turut menyediakan latihan perniagaan, bimbingan dan sokongan pemasaran bagi membantu peserta membangunkan perniagaan yang mampan serta berdaya saing.
"Program ini menekankan impak jangka panjang termasuk struktur sokongan selama 18 bulan melalui Majlis Penasihat Keusahawanan yang baru ditubuhkan," katanya.
Di bawah inisiatif itu katanya, IDS bertanggungjawab terhadap bahagian penyelidikan, manakala SCC mengawasi pengurusan kewangan dan pembiayaan.
Terbaharu katanya, pada 26 April 2025, IDS dan SCC dengan kerjasama Pejabat Daerah Beaufort telah menganjurkan program di peringkat daerah bertajuk Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi.
"Ini merupakan permulaan pelaksanaan awal program DAYANG di beberapa daerah terpilih yang memfokuskan kepada mengenal pasti dan memupuk wanita muda luar bandar dengan potensi keusahawanan yang kuat.
"Setakat ini, SCC telah menerima 16 permohonan pembiayaan dibawah program ini yang berjumlah RM425,000. Ini menunjukkan minat dan permintaan yang tinggi terhadap modal perniagaan dalam kalangan wanita muda.
“IDS komited memastikan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan bukan sahaja bersifat inklusif tetapi juga memberi impak langsung terhadap kualiti hidup wanita di Sabah,” katanya.
Azizah menegaskan, pemerkasaan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan gender tetapi merupakan strategi penting dalam pembangunan negeri.
Beliau turut menyatakan komitmen IDS untuk terus menyokong seruan Ketua Menteri dalam membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif, progresif dan berdaya tahan melalui penyertaan aktif wanita Sabah.
|