Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, melakar kemaraan bergaya ke perlawanan akhir Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara 21-18, 21-12 di separuh akhir sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung selama 49 minit di Stadium Nimibutr itu, Pearly-Thinaah mempamerkan disiplin tinggi untuk menguasai kedua-dua set meskipun berdepan tentangan sengit pada awal permainan.
Menurut Pearly, kemenangan itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan mereka menjelang aksi final esok, malah menjadi bukti kematangan mereka selepas melalui pelbagai ujian sepanjang musim ini.
"Kami berdepan tekanan sejak set pertama apabila mereka memaksa kami melakukan kesilapan mudah. Tapi kami saling mengingatkan untuk kekal fokus dan berpegang pada corak permainan kami sendiri," kata Pearly.
"Ada sedikit gangguan teknikal apabila sistem IRS tidak berfungsi dan permainan terhenti seketika, tapi kami ambil kesempatan itu untuk tenangkan diri dan kekal relaks. Bila masuk semula ke gelanggang, kami tahu apa yang perlu dilakukan."
Mereka dijadualkan menentang pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo.
"Kami pernah bertemu sekali sebelum ini, tapi mereka adalah pasangan baru yang sangat berbakat. Kami tak mahu terlalu fikirkan tentang lawan, sebaliknya fokus pada permainan sendiri," ujar Thinaah.
Kemenangan ini menjadi suntikan moral penting buat Pearly-Thinaah yang mengakui banyak turun naik dalam prestasi mereka tahun ini, namun bangkit dengan persembahan konsisten di Bangkok.
"Kami banyak berbincang dalam kejohanan ini, dan ia benar-benar membantu. Kami harap momentum ini berterusan sehingga ke aksi final esok," tambah Pearly.