Crystal Palace kejutkan Man City, julang trofi Piala FA
REUTERS - Mei 18, 2025 @ 1:45am

Crystal Palace cipta kejutan apabila menewaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan final Piala FA di Stadium Wembley. - Foto REUTERS
LONDON: Crystal Palace mencipta kejutan dalam dunia bola sepak apabila menewaskan Manchester City 1-0 dalam perlawanan final Piala FA di Stadium Wembley sebentar tadi, sekali gus merangkul trofi utama pertama dalam sejarah kelab itu.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Eberechi Eze pada minit ke-16 hasil satu serangan pantas yang dimulakan oleh Jean-Philippe Mateta.

Eberechi Eze (kanan) meledak gol pertama Crystal Palace pada aksi final Piala FA menentang Manchester City. Foto: AFP
Pemain itu menunjukkan keupayaan kawalan bola yang cemerlang sebelum menghantar bola kepada Daniel Muñoz yang kemudiannya melakukan hantaran lintang kepada Eze untuk disudahkan dengan tenang.
Manchester City, yang memenangi Piala FA sebanyak tujuh kali sebelum ini, diberi peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-36 apabila Tyrick Mitchell menjatuhkan Bernardo Silva dalam kotak penalti.
Namun begitu, penjaga gol Palace, Dean Henderson - bekas pemain Manchester United - berjaya menafikan sepakan penalti Omar Marmoush.

Omar Marmoush tampak kecewa seepas percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson. Foto: REUTERS
Henderson, yang terselamat daripada kad merah selepas semakan VAR awal dalam perlawanan, terus menjadi wira apabila menyelamatkan gawang daripada dibolosi di separuh masa kedua termasuk menepis rembatan Claudio Echeverri yang terkena pertahanan.
Walaupun City mendominasi penguasaan bola selepas rehat, pertahanan Palace kekal utuh dengan beberapa halangan penting daripada Daichi Kamada dan Munoz bagi memastikan kelebihan satu gol terus kekal hingga tamat permainan.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1397229/crystal-palace-kejutkan-man-city-julang-trofi-piala-fa
|