London: Penyerang berbisa Liverpool, Mohamed Salah, yakin tahun 2025 bakal menjadi miliknya apabila mensasarkan untuk merangkul Ballon d'Or selepas membantu The Reds menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain kelahiran Mesir itu kini berada di kemuncak prestasi apabila mengungguli carta penjaring liga dengan 28 gol dan 18 bantuan jaringan, sekali gus mengetuai senarai calon Pemain Terbaik EPL 2024/2025.
Lebih mengagumkan, Salah turut mencipta sejarah tersendiri apabila memecahkan rekod gol terbanyak dalam 38 perlawanan iaitu jumlah keseluruhan 46 pembabitan (28 gol dan 18 bantuan jaringan).
Kini, dia hanya memerlukan satu lagi aksi untuk menyamai rekod legenda EPL, Andrew Cole dan Alan Shearer.
"Ia pernah buat saya gila sebelum ini. Tapi sekarang saya lebih fokus dan tahu apa yang saya mahukan.
"Setiap kali turun beraksi, saya ingatkan diri sendiri tentang sasaran musim ini dan itu buat saya terus berusaha lebih keras," katanya.
Salah yang kini berusia 32 tahun, tidak menafikan bahawa Ballon d'Or adalah impian yang ingin dicapai sejak dahulu.
"Saya nak menang anugerah itu satu hari nanti. Kalau tak dapat juga tahun ini, saya tak tahu nak cakap apa. Tapi saya rasa tahun ini peluang saya sangat cerah… kita tengok nanti," katanya.
Salah kini menjadi harapan besar benua Afrika untuk membawa pulang Ballon d'Or, satu penghormatan tertinggi dalam dunia bola sepak yang selama ini sering di dominasi oleh nama-nama besar seperti Messi, Ronaldo dan Modric.