Aaron-Wooi Yik teruskan gemilang Malaysia di Terbuka Thailand
Oleh Helmi Talkah - Mei 18, 2025 @ 3:38pm

Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara di Terbuka Thailand. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Malaysia menutup kempen Terbuka Thailand 2025 dengan penuh bergaya apabila merangkul dua gelaran juara menerusi beregu lelaki dan wanita negara, hari ini.
Selepas kejayaan bersejarah Pearly Tan-M Thinaah menjadi beregu wanita pertama negara muncul juara sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1984, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut melakar kejayaan apabila menjuarai kategori beregu lelaki.
Pasangan nombor lima dunia itu bagaimanapun dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam pertarungan sengit tiga set 20-22, 21-17, 21-12 dalam tempoh sejam pada aksi final di Stadium Nimibutr, Bangkok.
Sebagai juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$37,525 (RM161,191).
Kejayaan itu adalah gelaran kedua mereka musim ini selepas turut menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China bulan lalu.
Dalam saingan Jelajah Dunia BWF pula, ini adalah gelaran ketiga buat gandingan juara dunia 2022 itu selepas memenangi Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.
Terdahulu, Pearly-Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi gandingan wanita pertama negara menjuarai Terbuka Thailand, selepas menundukkan pasangan Korea Selatan, Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam aksi final yang berlangsung selama 58 minit.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1397478/aaron-wooi-yik-teruskan-gemilang-malaysia-di-terbuka-thailand
|