Kemarau 34 tahun berpanjangan, skuad sepak takraw negara dilibas Thailand
Oleh Khairil S Iswan - Mei 18, 2025 @ 7:49pm

Aksi Azlan Alias ketika bertemu Thailand dalam final regu berpasukan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penantian skuad sepak takraw negara untuk menamatkan kemarau gelaran juara regu berpasukan terus berpanjangan apabila tunduk 2-0 kepada Thailand pada aksi final Piala Asia di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Turun dengan misi penting menamatkan penantian panjang selama 34 tahun, anak buah ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun dilihat tampil dengan semangat juang tinggi dibantu kehadiran ribuan penonton di stadium.
Menyenaraikan gandingan Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan), skuad negara bermula yakin apabila memperoleh mata pembukaan.
Perlawanan berlangsung sengit pada awal permainan apabila kedua-dua pasukan saling berbalas mata di kedudukan 4-4, sebelum Thailand mula mendahului 5-4 dan kemudian 8-5.
Sekalipun bermula baik, beberapa kesilapan mudah termasuk servis Syahir yang lima kali kandas di jaring, menyaksikan momentum beralih kepada pihak lawan.
Regu Thailand yang dibarisi Jakkrit Thinbangbon sebagai tekong, Wuttinun Kamsanor (pengumpan) dan Sutthikiart Panseankaew sebagai perejam mula menunjukan taringnya selepas itu.
Situasi bertambah sukar buat Malaysia apabila Azlan dilihat berdepan kecederaan ketika kedudukan 9-6 memihak Thailand untuk skuad negara tewas 11-15 pada set pertama.
Tersentak dengan kekalahan itu, skuad negara bangkit memperkemaskan permainan pada set kedua dan ia ternyata berhasil apabila skuad negara memenangi set berkenaan 15-12.
Pada set penentuan, Ahmad Jais bertindak mengeluarkan Syahir seketika dan digantikan dengan Muhammad Zarif Marican Ibrahim namun ia tidak begitu menjadi apabila tekong utama negara kembali dimasukkan apabila Malaysia ketinggalan 11-7.
Di sebalik kebangkitan tinggi cuba ditampilkan regu negara yang mengikat kedudukan 15-15, ia tidak dapat menghalang Thailand untuk meraih mata pertama dengan kemenangan 17-15 dalam perlawanan yang berlangsung hampir dua jam.
Pada perlawanan kedua, Malaysia menurunkan pengumpan emas, Farhan Adam, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Haziq Hairul Nizam sebagai tekong menentang gandingan Thailand, Sittipong Kamchan (tekong), Tanaphon Sapyen (perejam) dan Sirisak Anuloon (pengumpan).
Terdesak mahukan kemenangan, skuad negara bermula baik apabila menang pada set pertama 15-13.
Tetapi rentak itu tidak dapat diteruskan pada set kedua dengan kesilapan tidak sepatutnya menyaksikan regu negara kalah tewas 13-15 sekali gus mengheret ke set penentuan.
Harapan yang diletakkan pada set ketiga tidak kesampaian apabila regu Thailand yang dikuatkan dengan kelibat tekong utamanya, Kamchan tidak lagi mampu dikekang yang menyaksikan skuad bimbingan ketua jurulatih Suphaloek Kimthong menang 15-4 sekali gus bergelar juara.
Kekalahan turut menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu sehingga Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung pada Julai depan untuk membalas dendam kekalahan di sini.
Secara keseluruhan, Malaysia menamatkan kempen Piala Asia 2025 dengan membawa pulang dua gelaran juara dalam acara kuadran dan regu manakala acara double dan regu berpasukan berakhir sebagai naib juara.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/05/1397540/kemarau-34-tahun-berpanjangan-skuad-sepak-takraw-negara-dilibas
|