Verstappen tawan GP Emilia Romagna
Mei 18, 2025 @ 11:43pm

Verstappen muncul juara GP Emilia Romagna. Foto REUTERS
IMOLA, Itali: Juara dunia empat kali, Max Verstappen dari Red Bull muncul juara perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Emilia Romagna yang berlangsung sengit di Litar Imola, hari ini.
Pelumba dari Belanda itu mengetepikan cabaran hebat daripada dua pemandu McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, untuk meraih kemenangan keempatnya di litar berkenaan.
Verstappen memulakan perlumbaan dari petak kedua namun pantas memintas pelumba petak hadapan, Piastri, seawal pusingan pertama.
Dia kemudian mempertahankan kedudukan di hadapan selama 63 pusingan penuh tekanan bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
Sementara itu, juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton tampil dengan aksi bertenaga untuk menggembirakan penyokong tuan rumah apabila melonjak dari petak ke-12 ke tempat keempat manakala rakan sepasukannya, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam.
Alexander Albon sekali lagi membuktikan konsistensi prestasinya apabila menamatkan saingan di tempat kelima, mengulangi pencapaian sama di Miami.
Dalam carta kejuaraan dunia setakat ini, Piastri masih mendahului dengan 146 mata, diikuti rapat oleh Norris (133 mata) dan Verstappen di tangga ketiga dengan 124 mata.
Persaingan bagi musim ini terus terbuka luas, dengan Imola menjadi medan yang membakar semangat dan menunjukkan keupayaan sebenar jentera serta pelumba di setiap pasukan. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/05/1397568/verstappen-tawan-gp-emilia-romagna
|