Pei Kee-Mei Xing singkir pemenang emas Olimpik, juara remaja dunia
Oleh Helmi Talkah - Mei 20, 2025 @ 8:41pm

Pemain beregu wanita negara, Goh Pei Kee (kanan) dan Teoh Mei Xing meraikan kemenangan ketika bertemu gandingan China, Chen Qing Chen-Wang Ting Ge pada kejohanan Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing meneruskan rentak kemenangan ke atas gandingan dari China yang terdiri daripada juara Olimpik, Chen Qing Chen dan juara remaja dunia, Wang Ting Ge pada pusingan pertama Masters Malaysia 2025, hari ini.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan negara yang kini menghuni ranking ke-24 dunia menampilkan persembahan mantap untuk meraih kemenangan straight set 21-19, 21-19 dalam masa 53 minit.
Kejayaan itu mengulangi skrip kemenangan mereka ke atas pasangan sama di pusingan kedua Terbuka Jerman pada Februari lalu.
"Kami pernah bertemu mereka sebelum ini, jadi kali ini kami lebih yakin dan tahu apa yang perlu dijangka. Kami bermula dengan baik, namun sedikit gugup di pertengahan set, tapi berjaya atasi tekanan itu," kata Mei Xing ketika ditemui selepas perlawanan.
Menanti Pei Kee-Mei Xing di pusingan kedua, Khamis ini satu lagi gandingan dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang bangkit menyingkirkan wakil negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting, 21-11, 17-21, 21-13.
"Kemenangan ini beri kami motivasi tambahan. Sebelum ini ada sedikit masalah dari segi kombinasi di gelanggang, tapi hari ini kami berjaya atasi," kata Mei Xing.
Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, Choong Hon Jian-Haikal Nazri turut mencipta kejutan apabila menyingkirkan gandingan pilihan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren yang berada di ranking ke-14 dunia.
Hon Jian-Haikal yang kini menduduki ranking ke-41 dunia mempamerkan persembahan bertenaga untuk meraih kemenangan straight set 21-15, 21-18 dalam tempoh 40 minit.
Pertemuan itu adalah yang pertama antara kedua-dua pasangan, dengan Dechapol-Kittinupong baru sahaja melangkah ke separuh akhir Terbuka Thailand, minggu lalu.
Kemenangan itu amat bermakna buat Haikal yang baru kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan pinggul sejak Disember lalu.
Mereka sebelum ini gagal melepasi pusingan pertama di Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1398346/pei-kee-mei-xing-singkir-pemenang-emas-olimpik-juara-remaja-dunia
|