Tze Yong terpaksa tarik diri walaupun menang set pertama
Oleh Helmi Talkah - Mei 21, 2025 @ 8:01pm

Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengalami kecederaan lutut kanan ketika menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada kejohanan Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Nasib malang kembali menghantui pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila sekali lagi terpaksa menarik diri akibat kecederaan dalam aksi pusingan pertama Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Tze Yong yang turun menentang pemain Hong Kong, Ng Ka Long memulakan permainan dengan cukup meyakinkan apabila memenangi set pertama 22-20.
Namun, ketika mendahului 4-3 di set kedua, pemain berusia 24 tahun itu membuat keputusan menarik diri selepas dilihat mengalami kecederaan pada lutut kanan.
Insiden itu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan Tze Yong yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan serius.
Pada Januari tahun lalu, pemain itu mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Terbuka Malaysia yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan berehat hampir setahun daripada sebarang kejohanan kompetitif.
Dia baru sahaja kembali ke gelanggang pada Kejohanan Badminton Asia bulan lalu sebelum menyertai Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, namun ketiga-tiganya menyaksikan dia tersingkir di pusingan pertama.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1398734/tze-yong-terpaksa-tarik-diri-walaupun-menang-set-pertama
|