Aaron-Wooi Yik bergaya ke pusingan kedua
Oleh Helmi Talkah - Mei 21, 2025 @ 10:49pm

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2025 selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen Malaysia Masters 2025 dengan bergaya apabila mencatat kemenangan meyakinkan pada aksi pusingan pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand, Ahad lalu, bekas juara dunia itu yang kini berada di ranking ketiga dunia menewaskan pasangan ranking ke-17 dari Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dengan keputusan straight set 21-18, 21-16.
Meskipun beraksi dengan baik, Aaron mengakui masih berdepan cabaran dari segi tempoh pemulihan selepas melalui kejohanan berturut-turut.
"Kami baru habis kejohanan minggu lepas, jadi masa rehat memang tidak mencukupi. Tapi ia bukanlah satu masalah besar.
"Aksi kami hari ini baik tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Aaron-Wooi Yik bakal menentang satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Hanyang belum pernah mereka temui sebelum ini bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Wooi Yik mengakui perlawanan menentang pasangan yang belum pernah dihadapi bukan satu tugas mudah.
"Memang sukar apabila kita belum pernah menentang sesuatu pasangan. Di Thailand pun, kami berdepan kesukaran bertemu beregu Perancis yang juga kali pertama kami lawan.
"Hari ini, tiada lawan yang boleh dipandang mudah. Saingan beregu lelaki sekarang sangat sengit dan setiap pasangan ada keistimewaan tersendiri. Tiada lagi istilah perlawanan mudah," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1398784/aaron-wooi-yik-bergaya-ke-pusingan-kedua
|