HUTAN Lipur Chemerong yang terletak di Hutan Simpanan Pasir Raja dalam daerah Dungun sememangnya sebuah destinasi yang eko pelancongan yang cukup kaya dengan keindahan alam semula jadinya.
Mempunyai keluasan 292 hektar, lokasi hutan simpan itu terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dan 100 km dari bandaraya Kuala Terengganu.
Di dalam dunia Hutan Lipur Chemerong terlalu banyak aktiviti pelancongan eko yang boleh dilakukan pengunjung antaranya mendaki Gunung Berembun dan Air Terjun Chemerong setinggi 305 meter yang amat popular.
Baru-baru ini, Ummu Syafiqah Awang Shah, 29, bersama rakan-rakannya menerokai hutan lipur berkenaan untuk mengisi masa lapang selama tiga hari dua malam bagi menikmati keindahan puncak Gunung Berembun dan Kem Langsir serta Air Terjun Chemerong.
Ummu Syafiqah berkata, pada hari pertama pendakian, dia mulakan langkah pada jam kira-kira 9.30 pagi untuk berjalan sejauh 8.5km ke Kem Langsir. Jika diikutkan, masa pergerakan itu agak lewat untuk mereka habiskan pendakian terus ke Kem Langsir. Mungkin perlu bermalam di Kem Y yang terletak di kilometer keempat.
"Namun, dengan anggaran masa satu jam akhirnya kami berjaya sampai ke air Terjun Chemerong. Namun perjalanan ke air terjun itu agak mencabar dan menguji kemampuan mental dan fizikal.
"Kami menghabiskan masa kira-kira 30 minit di Air Terjun Chemerong dengan merakam gambar dan menikmati keindahannya. Bagaimanapun, masa agak cemburu dan perlu meneruskan perjalanan yang lebih mencabar iaitu ke 'Bukit Taubat," katanya.
Katanya, meskipun agak mencabar, tapi semua rakan-rakannya mempunyai kekuatan mental dan fizikal luar biasa kerana mampu tiba ke lokasi yang ingin dituju iaitu ke Kem B.
"Selepas meluangkan masa di Kem B selama 30 minit, kami meneruskan pendakian ke Kem Langsir pula. Pada mulanya semuanya agak seronok dan bersemangat, namun tiba-tiba hujan turun dengan sangat lebat menjadikan pendakian lebih sukar serta mencabar daripada kebiasaan.
"Maka bermulalah pelbagai 'drama' dalam kalangan kami antaranya kerap bertanya masa untuk tiba ke Kem Langsir. Mujur penunjuk arah kami yang berpengalaman amat tenang melayan pelbagai kerenah kami," katanya.
Akhirnya mereka boleh menarik nafas lega apabila hujan berhenti dan perjalanan hanya berbaki 1.5 km ke Kem Langsir, mereka perlu menyeberang sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Bangan.
"Sungai ini sepatutnya indah tapi akibat hujan, air sungai menjadi keruh. Kebiasaannya pendaki akan berhenti di sini untuk bermandi manda. Namun, disebabkan air sungai yang agak keruh, kami meneruskan sahaja perjalanan ke Kem Langsir," katanya.
Tambahnya, dari Sungai Bangan ke Kem Langsir jika diikutkan tidaklah jauh mana, namun disebabkan laluan yang agak mencabar, ibarat melalui sebuah perjalanan yang tidak ada penghujungnya.
"Tepat jam 6 petang, akhirnya kumpulan kami sudah sampai di Kem langsir. Kem yang akan dihuni selama dua malam di sini. Ketika ini masing-masing sudah melepaskan nafas lega dan bersyukur kerana berjaya sampai dengan selamat di samping disajikan dengan pemandangan yang indah dan damai di kem ini. Terasa hilang semua beban dan cabaran yang dipikul selama sembilan jam lalu.
"Sebaik tiba, kami bekerjasama untuk memasang khemah dan memasak makan malam. Akibat terlalu penat, usai makan malam kami semua tidur awal pada hari pertama," katanya.
Katanya, hari kedua adalah hari yang paling ditunggu-tunggu kerana mereka boleh bersantai sahaja di tapak perkhemahan sambil menikmati makanan dan keindahan alam semula jadi di sekitar kem berkenaan.
"Ditambah dengan pemandangan pagi yang indah, matahari terbit juga dapat dilihat dari atas puncak ini. Deruan angin dan air yang amat mendamaikan, menjadikan kami lupa sebentar mengenai cabaran pada esoknya. Namun, tidak merasa menyesal mengenai perjalanan itu kerana pemandangan yang amat indah pada hari kedua ini dinikmati sepenuhnya.
"Di Kem Langsir sebenarnya selain daripada tapak perkhemahan yang agak luas, terdapat juga kemudahan tandas agak selesa untuk digunakan. Apatah lagi sambil menikmati keindahan air sungai yang berdekatan dengannya," katanya.
Katanya, pada hari ketiga selesai bersarapan mereka merakam gambar berbusana pakaian tradisional kerana ketika itu masih lagi dalam suasana sambutan Aidilfitri.
Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Berembun setinggi 1,108 meter. Antara cabaran yang mereka pastinya laluan yang mencanak dan melalui pelbagai laluan sungai.
"Selepas dua jam pendakian, kami tiba di puncak Gunung Berembun dan menikmati keindahan mata burung dari puncak gunung ini. Rasa puas kerana akhirnya tiba juga di puncak gunung ini selepas melalui pelbagai laluan.
"Akhirnya, sekitar jam 5 petang, kami semua sampai di tempat permulaan pendakian pada hari pertama dan membersihkan diri sebelum pulang ke destinasi masing-masing.
"Pada saya pengalaman kali ini sememangnya amat seronok dan tidak akan dilupakan. Apatah lagi keindahan lokasi yang kami lawati amat menarik," katanya. - HARIAN METRO
|