Aaron-Wooi Yik makin garang
Oleh Helmi Talkah - Mei 30, 2025 @ 6:35pm

Beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir Terbuka Singapura. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melunaskan dendam ke atas Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila menewaskan juara Masters Malaysia itu 22-20, 21-17 dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura 2025, hari ini.
Kemenangan dalam tempoh 33 minit di Stadium Tertutup Singapura itu bukan sahaja menamatkan kemaraan pasangan senegara berkenaan, malah menjadi penebus kekalahan Aaron-Wooi Yik dalam pertemuan final minggu lalu di Kuala Lumpur.
"Kami semua satu pasukan, jadi masing-masing memang tahu gaya permainan satu sama lain. Tapi mungkin hari ini kami bermain lebih kemas dan konsisten berbanding mereka," kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Set pertama yang berlangsung sengit dilihat sebagai titik tolak kejayaan Aaron-Wooi Yik, apabila mereka berjaya menyerap tekanan sebelum menamatkan aksi dengan kelebihan dua mata.
"Set pertama sangat penting. Kami lebih tenang selepas itu dan ia memberi kami keyakinan untuk terus kekal fokus dalam set kedua," kata Aaron.
Dengan kemaraan itu, Aaron-Wooi Yik sudah mencatat empat penampilan separuh akhir berturut-turut bermula di Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, diikuti Terbuka Thailand, Masters Malaysia dan kini Terbuka Singapura.
Malah, mereka berjaya muncul juara di Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand, serta naib juara di Masters Malaysia — bukti peningkatan prestasi yang konsisten dalam kempen 2025 setakat ini.
"Ya, saya rasa kami semakin matang. Prestasi sekarang juga hasil kerja keras bersama jurulatih baharu (Herry Iman Pierngadi). Tapi masih banyak ruang untuk diperbaiki kerana ini baru permulaan bagi kami dengan jurulatih baharu. Jadi, ini permulaan perjalanan baru," kata Wooi Yik.
Aaron pula mengakui sentuhan Herry yang digelar jurulatih Naga Api dari Indonesia banyak membantu dari segi strategi dan keyakinan dalam permainan mereka.
"Dia bantu kami jadi lebih konsisten dan yakin dengan gaya permainan sendiri. Masih dalam proses menyesuaikan diri, tapi kami nampak peningkatan," katanya.
Untuk aksi separuh akhir hari ini, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang mara selepas menyingkirkan pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, 21-17, 21-15.
Mengulas mengenai pertemuan dengan beregu India itu yang kali terakhir mereka temui di Olimpik Paris, Wooi Yik berkata mereka tidak menjangka corak permainan yang sama.
"Mereka baru pulih dari kecederaan, jadi kami tidak tahu keadaan semasa mereka. Yang penting, kami akan bersedia sepenuhnya untuk cabaran esok," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/05/1402678/aaron-wooi-yik-makin-garang
|