Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian apabila terkandas di suku akhir Terbuka Singapura semalam.
Mereka perlu segera mencari jawapan jalan untuk mengatasi barisan gandingan dari China kerana berkemungkinan besar, China sekali lagi akan menjadi penghalang menjelang aksi di Terbuka Indonesia 2025 yang bermula Selasa ini.
Semalam dalam aksi yang cukup sengit di Stadium Tertutup Singapura itu, Pearly-Thinaah tewas 21-14, 22-24, 14-21 di suku akhir selepas mensia-siakan kelebihan memenangi set pertama sebelum lawan bangkit semula untuk menoktahkan kemenangan dalam tempoh 77 minit.
Kekalahan itu juga menyaksikan rekod pertemuan memihak kepada pasangan China itu yang kini mendahului 3-1 termasuk kemenangan di separuh akhir Masters Malaysia minggu lalu.
Mengulas kekalahan itu, Thinaah mengakui mereka sepatutnya menggunakan sebaik mungkin peluang yang dimiliki selepas berjaya mengejar mata.
"Saya rasa agak sedih dan kecewa kerana gagal mengambil peluang semasa set kedua selepas kami bangkit mengejar.
"Tapi secara keseluruhan, kami bermain dengan agak baik dan kami juga saling memberi sokongan serta motivasi antara satu sama lain.
"Kami agak goyah di awal set ketiga, tapi kami tetap mahu berjuang. Kami sentiasa saling menyokong dan akan terus lakukan yang terbaik menjelang kejohanan seterusnya," kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mengulas mengenai jadual padat dalam tempoh tiga minggu sejak dari Masters Malaysia, Thinaah berkata dia bersyukur kerana sokongan Pearly menjadi antara kunci utama mereka masih mampu bersaing di tahap tertinggi.
"Saya rasa, Pearly sentiasa berada di sisi saya walaupun pada hari yang keadaan tak menyebelahi kami.
"Dia tetap beri sokongan, tegur saya dengan cara yang baik dan kekal teguh bersama saya. Saya juga cuba berikan perkara yang sama kepada dia," jelasnya.
Pearly-Thinaah dijangka akan meneruskan cabaran di Terbuka Indonesia minggu depan, namun halangan tetap menanti apabila mereka berkemungkinan besar berdepan beregu ranking kelima dunia dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min di peringkat suku akhir.