Kuala Lumpur: Harapan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk mara ke separuh akhir acara 100 meter (m) individu di Kejohanan NCAA Jacksonville, Florida, tidak kesampaian apabila mencatat masa 10.20 saat (s) dalam saingan suku akhir, awal pagi tadi.
Beraksi dalam saringan pertama, catatan itu menyaksikan Azeem menamatkan saingan di kedudukan ke-16 keseluruhan daripada 24 pelari sekali gus berada di luar kelompok 12 terbaik yang layak ke separuh akhir minggu hadapan.
Azeem bagaimanapun tetap bersyukur dengan masa yang direkodkannya dan ia petanda positif buat dirinya dalam usaha untuk memecahkan rekod kebangsaan 10.09s miliknya sendiri.
"Cuma soal masa saja. Musim masih panjang. Saya bersyukur," kata Azeem.
Catatan masa 10.20s itu juga sekurang-kuragnnya menyamai pencapaian pemenang pingat emas dan perak di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) yang berlangsung di Gumi, Korea Selatan.
Emas diraih oleh pelari Jepun. Hiroki Yanagita manakala perak diraih atlet Thailand, Puripol Boonson yang juga pencabar utamanya di Sukan Sea, Thailand nanti yang mencatatkan masa yang sama, 10.20s.
Dalam perkembangan yang sama, kekecewaan Azeem berjaya ditebus apabila dia kembali bangkit dalam acara berganti-ganti 4x100m bersama pasukan Auburn University.
Bergandingan bersama Kayinsola Ajani, Dario Matau dan Makanakaishe Charamba, kuartet Auburn mempamerkan larian bertenaga untuk merekodkan masa 38.51s, catatan kedua terpantas keseluruhan sekali gus mengesahkan slot ke pusingan seterusnya di Eugene.
Penampilan cemerlang itu menjadi suntikan moral buat Azeem yang kini mahu terus menyinar bersama pasukan berganti-ganti Auburn dalam saingan NCAA yang kian sengit.