Qabil tekad terus konsisten di Sepanyol
Oleh Sukhairi Thani - Mei 31, 2025 @ 5:47pm

Qabil (kiri) sudah menunjukkan kemampuan sebenarnya di Sepanyol. - Foto Qabil Irfan
KUALA LUMPUR: Pelumba dalam pembikinan, Qabil Irfan Azlan bertekad untuk terus konsisten selepas meraih gelaran berganda pada pusingan pembuka tirai Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK), awal April lalu.
Berbaki kurang sebulan sebelum pusingan seterusnya berlangsung di Litar Catalunya, Sepanyol pada 20 hingga 22 Jun ini, Qabil yang kini memimpin carta keseluruhan kelas ESBK Talent mengakui sedang berusaha gigih terutama dari sudut kecergasan.
Pelumba berusia 13 tahun itu berkata, buat masa ini, dia giat menjalani latihan seperti biasa selain perlu mengawal pemakanan bagi memastikan dirinya kekal berada di tahap prestasi terbaik.
"Saya akan berlatih setiap hari untuk dapatkan tahap konsisten dan menjaga pemakanan serta kecergasan. Saya juga perlu mendapatkan waktu rehat yang cukup bagi menghadapi Pusingan 2 nanti," katanya.
Qabil berkata demikian ketika temu bual dalam Podcast Borak Harini yang dikendalikan moderator, Asrizal Aris dan disiarkan di laman YouTube Berita Harian Online, hari ini.
Hanya 10 mata dibezakan antara Qabil dan penghuni tangga kedua Izan Rorriguez dan 18 mata daripada Andres Garcia yang ketika ini berada di kedudukan ketiga menjelang perlumbaan di Jerez.
"Saya tak boleh pandang rendah (pencabar lain) dan untuk itu, saya perlu berlatih setiap hari. Saya juga akan cuba perbaiki lagi dari sudut pengambilan di selekoh, ketika membrek untuk kekal konsisten.
"Ada juga saya ikut sikit-sikit dia (gaya tunggangan Rossi). Bagi saya, teknik, membrek dan ketika di selekoh (sebab meminati Rossi), dia sangat laju dan itu membuatkan saya minat dengan.
"Dia idola saya dan akan cuba jadi seperti dia," kata Qabil mengenai gaya gaya tunggangan mengikuti idolanya, Valentino Rossi.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/05/1403036/qabil-tekad-terus-konsisten-di-sepanyol
|