Real Madrid kelab paling bernilai empat tahun berturut-turut
Mei 31, 2025 @ 10:20pm

Real Madrid muncul pasukan bola sepak pertama menjana pendapatan lebih satu bilion dolar dalam satu musim denganrekod pendapatan sebanyak RM4.81 bilion bagi musim 2023/24. - Foto Reuters
MADRID: Majalah perniagaan, Forbes mengumumkan kelab LaLiga, Real Madrid menduduki tempat teratas dalam senarai pasukan bola sepak paling bernilai di dunia untuk tahun keempat berturut-turut dengan nilai sebanyak RM28 bilion.
Real Madrid muncul pasukan bola sepak pertama yang menjana pendapatan lebih satu bilion dolar dalam satu musim selepas mencatatkan rekod pendapatan sebanyak RM4.81 bilion bagi musim 2023/24.
Kelab Sepanyol itu yang menjadi pasukan sukan kedua dalam sejarah mencapai angka 10 digit selepas pasukan Liga Bolasepak Kebangsaan (NFL), Dallas Cowboys, turut menjadi kelab bola sepak pertama mencatat pendapatan satu bilion euro dalam satu musim seperti dilaporkan Deloitte awal tahun ini.
Manchester United berada di tempat kedua dalam senarai Forbes dengan RM28 bilion selepas menjana pendapatan sebanyak RM3.54 bilion pada musim 2023/24 walaupun mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengecewakan dengan kedudukan ke-15.
Pencabar Real Madrid di LaLiga, Barcelona, berada di tempat ketiga dengan nilai RM24 bilion manakala Liverpool dan Manchester City masing-masing di tempat keempat dan kelima.
Forbes menyenaraikan enam kelab EPL dalam kelompok 10 pasukan paling bernilai termasuk Arsenal, Tottenham Hotspur dan Chelsea, bersama Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG).
"Secara keseluruhan, 30 pasukan bola sepak paling bernilai di dunia kini bernilai lebih daripada RM306 bilion atau purata RM10.2 bilion.
"Ia meningkat lima peratus daripada rekod purata RM9.62 bilion pada tahun 2024," kata Forbes. -REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/05/1403076/real-madrid-kelab-paling-bernilai-empat-tahun-berturut-turut
|