Aaron-Wooi Yik juara Terbuka Singapura, kaut RM314,997
Oleh Helmi Talkah - Jun 1, 2025 @ 7:42pm

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang Kim Won-ho dan Seo Seung-jae pada final Terbuka Singapura. - AFP
KUALA LUMPUR: Tiada yang mampu menghalang langkah konsisten beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila mereka sekali lagi membuktikan status selaku jagoan dunia dengan merangkul gelaran juara Terbuka Singapura 2025, sebentar tadi.
Meskipun melalui jadual padat dengan tiga penampilan final berturut-turut dalam tempoh tiga minggu, termasuk di Terbuka Thailand dan Masters Malaysia, Aaron-Wooi Yik mempamerkan ketahanan fizikal dan mental luar biasa untuk menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam aksi final penuh mendebarkan di Stadium Tertutup Singapura.
Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan mereka gelaran ketiga musim ini, malah menyaksikan pasangan negara itu melunaskan dendam terhadap lawan berkenaan yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.
Lebih manis, ia juga menamatkan kemarau 17 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura sejak kali terakhir dimenangi pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008.
Dalam perlawanan final itu, Aaron-Wooi Yik bermula perlahan apabila kehilangan set pertama, namun mereka menunjukkan kebangkitan luar biasa pada set kedua dengan corak permainan agresif yang berjaya mengucar-kacirkan rentak lawan.
Aksi set ketiga berlangsung cukup sengit dengan kedua-dua pasangan saling berbalas mata.
Namun, Aaron-Wooi Yik menampilkan ketenangan luar biasa ketika saat getir dan menyerap tekanan dengan bijak sebelum menoktahkan kemenangan bergaya.
Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$74,000 (RM314,997), manakala Won Ho-Seung Jae menerima AS$35,000 (RM148,985) selaku naib juara.
Ini adalah gelaran ketiga musim ini buat mereka selepas menjulang Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Thailand.
Secara keseluruhan, ia adalah gelaran keempat Jelajah Dunia BWF buat Aaron-Wooi Yik selepas turut muncul juara di Terbuka Denmark 2023, Masters Korea 2024, dan Terbuka Thailand 2025.
Mereka kini berpeluang untuk memburu gelaran keempat musim ini dan kelima Jelajah Dunia apabila beraksi di Terbuka Indonesia bermula Selasa ini – yang juga kejohanan bertaraf Super 1000.
Aaron-Wooi Yik akan memulakan cabaran di Jakarta menentang gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/06/1403422/aaron-wooi-yik-juara-terbuka-singapura-kaut-rm314997
|