CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 424|Reply: 0

[Sukan & Senibela Diri] Izz Naqiuddin cipta kejutan di Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur

[Copy link]
Post time 2-6-2025 12:29 AM | Show all posts |Read mode
Izz Naqiuddin cipta kejutan di Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur

Oleh Helmi Talkah - Jun 1, 2025 @ 9:33pm





Atlet boling lelaki negara, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin merangkul gelaran Juara kategori Masters Terbuka pada Kejohanan Boling Terbuka Kuala Lumpur 2025 di Sunway Megalanes, hari ini. - BERNAMA



SUBANG JAYA: Pemain boling negara yang sedang meningkat naik, Izz Naqiuddin Putera Islahuddin terus membuktikan potensi besar dimilikinya apabila muncul juara kategori Terbuka Campuran pada Kejohanan Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Atlet berusia 21 tahun itu mengumpul keseluruhan 1,993 jatuhan pin selepas 10 permainan, menewaskan 35 peserta lain termasuk beberapa nama besar dalam arena boling Asia Tenggara.

Izz mengetepikan cabaran Ahmad Azriq Izam yang berada di tempat kedua dengan 1,951 jatuhan pin, manakala Ahmad Aidil Abdul Halim di tempat ketiga dengan 1,882 jatuhan pin.

Lebih manis, kejayaan itu hadir dalam kelompok peserta elit termasuk jaguh negara Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam, serta bintang serantau seperti Ryan Lalisang (Indonesia), Yannaphon Larpapharat (Thailand) dan pemain Australia, Sam Cooley.

"Ia satu perasaan yang cukup luar biasa apabila muncul juara hari ini, apatah lagi bersaing dengan idola saya sendiri, Rafiq Ismail," kata Izz yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

"Saya bermain dengan konsisten dan tidak banyak perlu ubah teknik sepanjang permainan. Ini membuktikan usaha keras saya selama ini mula membuahkan hasil."

Kejayaan itu adalah gelaran ketiga dalam karier Izz selepas memenangi Terbuka Antarabangsa Pesta Pulau Pinang 2023 dan Kejohanan Sonic Classic di Singapura tahun lalu.

Ia juga menjadi penawar selepas gagal mempertahankan kejuaraan di Sonic Classic serta sekadar menduduki tempat ke-16 pada Terbuka Malaysia bulan lalu.

Izz turut mengejutkan ramai apabila dipilih menyertai Kejohanan Asia di Bangkok tahun lalu, menyingkirkan nama-nama senior seperti Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol dan dia tidak mensia-siakan peluang dengan membantu skuad negara meraih pingat perak berpasukan.

Kini, Izz meletakkan harapan tinggi untuk disenaraikan ke Kejohanan Dunia di Hong Kong atau temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.

"Kemenangan ini beri saya keyakinan. Hanya enam pemain akan dipilih, dan jika terpilih, ia akan jadi penampilan pertama saya," ujarnya.

Sementara itu, rakan sepasukan Izz dalam skuad kebangsaan, Nur Syazwani Sahar turut mencuri tumpuan apabila mempertahankan gelaran juara kategori wanita dengan catatan keseluruhan 1,776 jatuhan pin untuk berada di kedudukan ke-10 keseluruhan.

Syazwani, 26, baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat pada Jumaat lalu selepas menamatkan cabaran di tempat ke-13 bersama dalam kejohanan berprestij USBC Queens yang disertai hampir 200 peserta.

"Saya bermula dengan permainan sempurna, tapi satu pasangan lorong kurang menjadi. Saya cepat bangkit dan sasarkan purata 200, dan menamatkan permainan terakhir dengan 243," jelasnya.

"Memandangkan saya masih jet lag, saya berpuas hati dengan prestasi ini."

Syazwani membawa pulang RM7,850 — RM7,000 sebagai juara wanita dan tambahan RM850 bagi kedudukan keseluruhan.

Faten Najihah Ahmad Faik dan Lavinia Kho masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga terbaik dalam kategori wanita.

Dalam kalangan pemain negara lain yang turut menyerlah, Ahmad Muaz Fishol (1,815) dan Hafiz Zainuddin (1,813) masing-masing berada di tempat keenam dan ketujuh, manakala Tun Hakim di tangga kesembilan (1,786).

Rafiq Ismail (1,732) dan Timmy Tan (1,706) pula mengakhiri saingan di tempat ke-16 dan ke-19.

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/06/1403452/izz-naqiuddin-cipta-kejutan-di-terbuka-antarabangsa-kuala-lumpur





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Sukan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-8-2026 02:26 PM GMT+8 , Processed in 1.373094 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list