Vietnam gerun 'lautan kuning' di Stadium Nasional
Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 2, 2025 @ 3:14pm

Pengendali Vietnam akui pasukannya perlu membuat persiapan rapi bukan sahaja hadapi Harimau Malaya tetapi penyokong lawan di Stadium Nasional, minggu depan. - Foto NSTP/Aswadi Alias
KUALA LUMPUR: Berbaki lapan hari lagi sebelum pertembungan getir antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kehangatan aksi kelayakan aksi Piala Asia 2027 itu semakin dirasai khususnya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Stadium Nasional dianggap sebagai gelanggang keramat bagi Harimau Malaya dengan aura sokongan padu daripada penyokong menambah kekuatan buat barisan pemain negara selain turut mampu melemahkan pasukan lawan.
Ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik turut mengakui Stadium Nasional memiliki aura tersendiri selepas dia merasai sendiri ketika membimbing skuad ASEAN All Stars menentang Manchester United, Rabu lalu.
Pengendali dari Korea Selatan itu bagaimanapun menjelaskan bahawa skuad Naga Emas akan melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Malaysia yang menjadi perlawanan kedua dalam Kumpulan F.
"Kita tahu stadium ini amat besar, mungkin ia memberi suasana hangat terutama buat pasukan pelawat. Kita lihat penonton berbaju merah di dalam stadium (ketika menentang United), tetapi bulan depan kita akan menyaksikan ia dipenuhi baju kuning.
"Ia akan memberi suasana yang hangat kepada pasukan. Namun, pasukan saya akan melakukan persiapan rapi untuk berdepan Malaysia dan kami akan bersedia bagi perlawanan itu," katanya.
Sang Sik mungkin akan hadir dengan semangat tinggi susulan kejayaan yang diciptanya di Stadium Nasional selepas skuad ASEAN All Stars berjaya mengejutkan Manchester United menerusi kemenangan 1-0.
Vietnam yang menghuni ranking ke-109 dunia dan Malaysia di kedudukan 131 menjadi dua pasukan pilihan utama dalam Kumpulan F dengan kedua-dua pasukan ketika ini terikat tiga mata.
Apa sahaja keputusan perlawanan pada 10 Jun ini, skuad Harimau Malaya dan Naga Emas tetap dijangka perlu membuat perhitungan pada perlawanan terakhir kumpulan, 31 Mac tahun depan untuk menentukan siapa yang akan ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/06/1403685/vietnam-gerun-lautan-kuning-di-stadium-nasional
|