Vietnam jadi lauk Harimau Malaya
Oleh Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan - Jun 10, 2025 @ 11:00pm

Pemain Malaysia, Joao Figueiredo membuka jaringan pada aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah
KUALA LUMPUR: Dua 'Harimau Kacukan' baharu negara, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado mencetak gol pada debutnya bersama Harimau Malaya untuk membantu Malaysia membelasah Vietnam 4-0 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Babak pertama pertama yang agak 'sunyi' ditebus dengan skrip berbeza pada separuh masa kedua yang menyaksikan anak buah Peter Cklamovksi meledak empat gol tanpa balas dalam tempoh 45 minit di hadapan 61,512 penyokong.
Lebih manis, kemenangan itu bukan sahaja membolehkan skuad negara meraih mata penuh bagi mengukuhkan slot ke Piala Asia 2027 namun turut memecahkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas skuad 'Naga Emas' itu.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mendahului Kumpulan F dengan dua kemenangan daripada dua aksi, menghimpun enam mata maksimum dan meninggalkan Vietnam dengan tiga mata.

Pemain Malaysia, Arif Aiman (kiri) membantu dua jaringan ketika aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

Pemain Malaysia, Dion Cools memainkan peranan penting dalam kemenangan negara termasuk menjaringkan satu gol ketika aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah
Pada aksi terbabit, kedua-dua pasukan tercari-cari rentak di awal permainan namun Harimau Malaya tampak sedikit menguasai permainan dan lebih banyak memasuki kawasan Vietnam berbanding pelawat memasuki kawasan skuad negara.
Vietnam mula 'panas' selepas 15 minit perlawanan dan dapat memasuki kawasan pertahanan Malaysia namun tiada percubaan tepat dapat dilancarkan sehingga setengah jam perlawanan.
Peluang terbaik negara hadir pada minit ke-39 menerusi tandukan deras Joao Figueiredo yang sempat ditepis Nguyen Filip sebelum Filip sekali lagi cemerlang menafikan percubaan Arif Aiman Hanapi di hujung babak pertama untuk kedudukan 0-0 tamat 45 minit pertama.
Bersambung babak kedua, Malaysia menekan 'gear' dan hasilnya, Stadium Nasional Bukit Jalil 'pecah' pada minit ke-49 apabila percubaan Figueiredo terbias pemain Vietnam dan melambung tinggi mengelirukan Filip sebelum masuk ke dalam gawang Vietnam untuk kedudukan 1-0 buat Malaysia.
SNBJ 'pecah' buat kali kedua pada minit ke-58 di mana Vietnam terus terpana dengan gol kedua Malaysia, kali ini menerusi seorang lagi pemain berdarah warisan baharu, Rodrigo Holgado yang bijak melepasi bentesan pertahanan Vietnam dan menyambut hantaran Arif Aiman sebelum menewaskan Filip.
Vietnam cuba bangkit dan sisa perjuangan mereka boleh dikatakan lenyap apabila Malaysia terus merobek gawang pelawat tanpa belas kasihan buat kali ketiga menerusi La Vere Corbin Ong sekali lagi menerusi hantaran Arif Aiman pada minit ke-67.
Ketika Vietnam hanya menyangkakan Malaysia berhenti setakat tiga gol, jangkaan mereka meleset selepas Dion Cools meledak gol keempat pada minit ke-88 untuk melengkapkan malam bergaya negara.
Sebagai rekod, hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi nanti.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/06/1406638/vietnam-jadi-lauk-harimau-malaya
|