Salah sendiri jika Verstappen dilarang berlumba - Russell
Jun 13, 2025 @ 9:58am

Pemandu Mercedes dari Britain, George Russell tiba bagi menyertai perlumbaan Grand Prix Kanada di Litar Gilles Villeneuve, Montreal, Quebec. – Foto REUTERS
MONTREAL: George Russell menyatakan jika Max Verstappen dikenakan larangan berlumba, ia adalah susulan tindakannya sendiri dan merupakan hukuman yang wajar berikutan pemanduan berbahaya yang dilakukannya.
Pemandu Britain itu, yang pernah berlanggar dengan juara dunia empat kali itu musim lalu dan sekali lagi pada Grand Prix Sepanyol awal bulan ini, berkata dia percaya Verstappen cuba menakut-nakutkannya apabila dia melanggar jentera Red Bull ke arah kereta Mercedes dipandu Russell.
"Dia cuba menyingkirkan saya keluar dari litar," kata Russell kepada wartawan menjelang Grand Prix Kanada hujung minggu ini.
"Saya tidak fikir dia mencuba secara sengaja mahu melanggar saya. Dia cuma mahu menakut-nakutkan saya sedikit, tetapi dia tersalah anggap.
"Tetapi ia tidak menakutkan saya pun, cuma mengejutkan. Saya tidak harapkan permohonan maaf. Tindakannya merugikan dirinya sendiri dan menguntungkan saya. Jadi saya patut ucap terima kasih kepadanya!
"Sudah tentu, saya akan rasa amat berbeza kalau insiden itu membuatkan saya tersingkir daripada perlumbaan, tetapi bagus juga dia ambil tanggungjawab. Saya agak terkejut dengan itu."
Verstappen tidak mengulas mengenai insiden itu sejurus selepas perlumbaan, tetapi mengakui di media sosial 24 jam kemudian dia melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Dia diturunkan dari kedudukan kelima ke tangga ke-10 dan dikenakan penalti tiga mata ke atas lesen super FIA miliknya, menjadikannya kini memiliki 11 mata penalti.
Jika dia mengumpul satu lagi mata penalti dalam dua perlumbaan akan datang, dia akan digantung satu perlumbaan.
"Ia bukan sesuatu yang tidak adil," kata Russell. "Itulah sebabnya sistem mata penalti diwujudkan. Jika anda terus memandu secara berbahaya, anda akan kumpul mata dan akhirnya digantung perlumbaan."
Russell berkata dia tidak menjangka Verstappen akan mengubah gaya pemanduan agresifnya. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/06/1407521/salah-sendiri-jika-verstappen-dilarang-berlumba-russell
|