Katanya, warga emas yang menyertai rombongan dikendalikan ejen berkenaan terkejut apabila mendapat tahu bahawa mereka tidak dibenarkan ke kota Makkah susulan tiada visa haji, sebaik tiba di Jeddah.
"Saya terkejut apabila ibu yang berusia 64, ayah, 63 dan ibu saudara, 54, memaklumkan menerusi WhatsApp dipaksa meredah laluan berbahaya berjalan kaki bagi mengelakkan pihak berkuasa Arab Saudi, dengan hanya membawa keperluan asas tanpa makanan dan minuman, manakala bagasi telah ditinggalkan di beberapa tempat.
"Jemaah warga emas ini juga dibahagikan dalam kumpulan kecil untuk berjalan kaki bagi mengelakkan dikesan malah mereka tidak ditemani oleh lapan wakil ejen yang mengiringi mereka selain tanpa apa-apa taklimat keselamatan.
"Lebih memilukan apabila setibanya di Makkah, ibu, ayah dan ibu saudara bersama jemaah yang lain dikurung dan dikunci dalam bilik sempit, tidak dibenarkan keluar, tanpa akses kepada makanan dan rawatan yang sewajarnya selain dimanipulasi secara
psikologi melalui ceramah agama bagi menghalang mereka bertindak balas dan membuat aduan," katanya ketika dihubungi.
Susulan itu, Sharifah Azzahra sudah membuat laporan polis mengenai isu penganiayaan dan penipuan ejen haji berkenaan di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang, Selangor, petang semalam.
Mengulas lanjut, Sharifah Azzahra berkata, ada warga emas menghidap pelbagai sakit kronik yang memerlukan ubat termasuk insulin dibawa yang ditinggalkan dalam bagasi di tempat lain, namun mereka diminta bayaran tambahan sebanyak 8,000 riyal (RM9,058), bagi menghantar orang mengambilnya.
Katanya, ia sangat mengecewakan susulan majoriti warga emas berkenaan sudah membayar lebih RM30,000 seorang bagi mengerjakan haji bersama ejen berkenaan.
"Ibu saya memaklumkan semua jemaah ditempatkan di sebuah penginapan di Makkah sebelum diarahkan untuk tidak keluar langsung, dan diminta duduk berhimpit dalam sebuah bilik sempit, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.
"Layanan terhadap jemaah dari segi penyediaan makanan juga amat menyedihkan. Makanan yang disediakan bukan sahaja tidak mencukupi termasuk disajikan nasi mentah serta dua ketul ayam yang terpaksa dikongsi dengan lebih daripada lima orang, selain mi segera sebagai pengalas perut," katanya.
Sharifah Azzahra berkata, ibu serta ayahnya memaklumkan ada jemaah yang cuba melarikan diri, namun mereka tidak tahu ke mana hendak dituju selain tiada dokumen yang sah serta pengetahuan tentang lokasi keberadaan, menyebabkan jemaah akhirnya membatalkan rancangan melarikan diri.
Namun, dalam perjalanan jemaah menuju ke Arafah, mereka akhirnya ditahan selepas dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.
Sharifah Azzahra berkata, terdahulu ejen memaklumkan kesemua jemaah, jika rombongan ditahan pihak berkuasa, mereka hanya perlu mendiamkan diri dan menyatakan datang secara individu tanpa dibawa sesiapa.