Belum boleh terlalu selesa - Kasma
Sukhairi Thani - Jun 14, 2025 @ 9:07pm

Kasma mengungguli sesi kelayakan CP150 di Litar Karting Antarabangsa LYL, hari ini. Foto: Cub Prix
KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin enggan terlalu mendabik dada meskipun berjaya mencipta masa terpantas dalam sesi kelayakan kelas CP150 bagi Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025, hari ini.
Dalam saingan yang berlangsung di litar baharu, Litar Karting Antarabangsa LYL, di Sungai Long itu, Kasma mengungguli sesi kelayakan keseluruhan bagi kelas perdana itu dengan mencatatkan masa terpantas 1 minit 09.953 (s).
Mengekori di belakangnya adalah pelumba Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar yang mencatat 1'09.964s manakala Helmi Azman (Maeztro SCK Honda Racing Team) ketiga terpantas, 1'10.505s.
"Prestasi saya masih berterusan sejak perlumbaan di Tangkak, semangat kemenangan itu masih membara dan saya bawa ke sini," kata Kasma yang pada memenangi perlumbaan pada Pusingan 2 sebelum ini di Litar Tangkak, Johor bulan lalu.
"Saya sendiri tidak sangka, semangat saya kali ini agak berbeza. Keazaman untuk berada di P1 (tempat pertama) memang tinggi, dan esok masih ada sesi Super Pole serta perlumbaan.
"Saya belum boleh terlalu selesa kerana ini baru hari pertama, masih ada banyak yang boleh berlaku. Fokus saya sekarang ialah mengekalkan corak pemikiran dan tunggangan.
"Saya harap dapat kekal konsisten hingga ke perlumbaan esok. Esok masih ada satu peluang terakhir dalam sesi pemanas badan dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan."
Selepas dua pusingan musim, Kasma ketika ini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 31 mata di belakang pendahulu carta Ahmad Afif Amran dari PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing.
Afif memimpin carta keseluruhan dengan 45 mata selepas meraih satu kemenangan di pusingan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada April lalu dan muncul naib juara di Tangkak (Pusingan 2 di Tangkak).
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/06/1408154/belum-boleh-terlalu-selesa-kasma
|