Kuala Lumpur: Homebois menepati ramalan menjadi pasukan kedua layak ke Piala Pertengahan Musim (MSC) dalam Piala Dunia E-sukan 2025 di Riyadh, Arab Saudi bulan hadapan selepas berjaya melangkah ke Grand Final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia Musim ke-15 (MPL MY 15), esok.
Namun, ia bukan laluan mudah buat mereka apabila dipaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 3-2 ke atas DX Soul di final lower bracket, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Homebois berjaya berada di hadapan sebanyak dua kali, namun DX Soul juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya bangkit setiap kali ketinggalan untuk menyamakan kedudukan 2-2 sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.
Di permainan kelima, Homebois dilihat seperti mampu menang mudah apabila mendahului lebih 8,000 gold, namun serangan menggunakan Lord pertama itu ternyata mengubah momentum permainan apabila DX Soul berjaya mematahkan setiap asakan sekali gus merapatkan kedudukan gold.
DX Soul terus meningkatkan gerakan serangan ke kawasan lawan dan hampir mengejutkan pasukan pilihan ramai tetapi Homebois dilihat bijak menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan serangan balas pantas bagi memastikan tiket ke MSC menjadi milik mereka.
Sementara itu, jurulatih Homebois, Ervan Pratama Hassan sangat gembira dengan kemenangan hari ini tetapi mengingatkan anak buahnya untuk kekal fokus kerana mereka masih ada satu lagi misi besar untuk perlawanan esok.
"Saya sangat gembira kerana sesuai dengan sasaran kita, tapi sekarang sasaran kita adalah merampas piala (MPL) dari SRG.OG (Selangor Red Giants)," katanya selepas tamat perlawanan.