Afif sukar digugat
Khairil S Iswan - Jun 15, 2025 @ 7:40pm

Afif (kanan) meraikan kemenangannya di Litar Karting Antarabangsa LYL. Foto: Cub Prix
KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran menjuarai perlumbaan CP150 yang berlangsung penuh mendebarkan pada Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Cub Prix MAM Malaysia (Cub Prix) di Litar Karting Antarabangsa LYL, Sg Long, hari ini.
Pelumba kelahiran Terengganu itu, yang memulakan perlumbaan di petak ketiga tampil dengan strategi sempurna apabila meletakkan dirinya di depan pada pusingan terakhir sekali gus mengecewakan pelumba pasukan Honda Estremo Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar.
Rakan sepasukan Azroy, Ahmad Darwisy Ahmad Sahir melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
"Sejujur-jujurnya, saya tidak menjangkakan boleh menang kerana Azroy dan Kasma (Daniel Kasmayudin) memang kuat sepanjang minggu ini dan berada di podium sebenarnya sudah mencukupi bagi saya," kata Afif.
"Tetapi ketika perlumbaan, saya lihat saya boleh mengekalkan kedudukan dengan mereka dan apabila ada peluang berada di depan, saya memanfaatkannya dan berjaya meraih kemenangan ini."
Kemenangan di Sg Long adalah yang kedua buat Afif pada musim ini selepas turut menjuarai perlumbaan pembuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada April lalu.
Selepas tiga pusingan musim, Afif ketika ini selesa menerajui kedudukan carta pelumba CP150 selepas mengumpul 70 mata diikuti Kasma dan seorang lagi pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Akid Aziz yang juga penyandang juara.
Pusingan berikutnya dijadual berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan, Perak pada 19 dan 20 Julai depan.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/06/1408461/afif-sukar-digugat
|