CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 249|Reply: 0

[Johor] Sindiket penipuan seks, pemerasan tumpas, 9 individu ditahan

[Copy link]
Post time 14-7-2025 08:44 PM | Show all posts |Read mode

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Najmi Nor’Azam.

Johor Bahru : Polis menumpaskan sindiket penipuan seks dan pemerasan dalam talian susulan tangkapan sembilan individu termasuk dua wanita dan remaja.

Dalam serbuan Op Bugil yang dijalankan antara 20 Jun hingga 1 Julai lalu di sekitar Johor Bahru dan Kulai, tujuh lelaki dan dua wanita ditahan, yang semuanya warga tempatan berusia 17 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, modus operandi sindiket yang sudah beroperasi sejak November tahun lalu itu, bermula dengan mewujudkan akaun media sosial palsu sebelum wanita menyamar untuk memujuk mangsa yang diperangkap untuk melakukan panggilan video lucah.

"Pada masa sama, sindiket akan menghantar pautan pada telefon bimbit mangsa dan apabila mangsa menekannya, sindiket boleh mengakses senarai kenalan dan galeri gambar pada telefon bimbit mangsa.

"Ketika panggilan lucah dibuat, sindiket akan memujuk mangsa melakukan aktiviti lucah dan semua yang dilakukan itu dirakam bagi kegunaan untuk mengugut mangsa bagi mendapatkan wang," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kumar, mangsa akan diugut untuk membayar wang antara RM500 hingga RM1,000 setiap kali dipaksa melakukan panggilan video lucah dan sekiranya tidak mahu, sindiket mengugut mengedarkan video lucah mangsa kepada semua senarai kenalan termasuk keluarganya.

Sementara itu, Kumar berkata, dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan tiga mangsa kegiatan seksual iaitu dua remaja berusia 15 dan 16 tahun serta lelaki dewasa.

"Sindiket ini merekrut remaja warga tempatan yang tidak bersekolah menerusi media sosial untuk dijadikan pekerja dengan gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 dan mereka akan dilatih supaya mahir sebelum dipaksa kerja di luar negara seperti Indonesia, Laos dan Thailand.

"Mangsa remaja ini tidak ada pilihan. Mereka akan dikurung dan dipaksa bekerja sebagai ahli sindiket selama 12 jam sehari dan akan dipukul jika tidak memberikan kerjasama.

"Mangsa pernah diberikan cuti selepas dua minggu, namun pergerakan mereka dikawal. Telefon bimbit dan kad pengenalan diambil jadi mangsa akan takut untuk minta bantuan. Jika mangsa tidak mahu bekerja, mereka paksa bayar RM30,000 untuk dilepaskan," katanya.

Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas 27 telefon bimbit, dokumen diri, tiket kapal terbang, resit tukaran duit dan wang tunai RM140, matawang asing, komputer riba, 49 kad sim, modem, buku pekerjaan serta kereta dan alat kawalan jauh.

Kumar berkata, semua suspek termasuk dalang sindiket disiasat mengikut Seksyen 5, Seksyen 10 dan Seksyen 15(f) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017; Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007; Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990; Seksyen 12(1)(F) Akta Pasport 1966; Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.


Disiarkan pada: Julai 14, 2025   harian metro


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-3-2026 02:48 AM GMT+8 , Processed in 0.073983 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list