Berita Harian
Muhaamad Hafis Nawawi [email protected]
Julai 16, 2025
Pulau Pinang: Seludup keluar besi buruk untuk dieksport dengan diikrarkan sebagai barangan jentera dan logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana ditetapkan kerajaan.
Itu modus operandi sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang menyebabkan negara mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta sejak enam tahun lalu.
Sindiket terbabit juga dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka.
Bagaimanapun kegiatan mereka mengundang padah apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur sindiket terbabit di lima negeri secara serentak bermula jam 6 pagi semalam.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Multi Agency Task Force (MATF) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara (BNM) di 19 lokasi di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah melalui operasi Op Metal.
Wartawan Harian Metro secara eksklusif turut menyertai operasi itu di sekitar kediaman dan syarikat milik sindiket terbabit di Pulau Pinang.
SPRM turut menggunakan pasukan taktikalnya, Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) yang lengkap bersenjata api ketika melakukan serbuan di kediaman dan syarikat terbabit.
Pemeriksaan di kediaman mewah tiga tingkat di Batu Maung di sini, milik pemilik syarikat dipercayai bergelar Datuk mendapati ia dilengkapi lif selain mempunyai beberapa kenderaan mewah dengan nombor pendaftaran khas.
Individu terbabit dipercayai mengeksport besi ke luar negara tanpa membayar cukai eksport dengan merasuah penguat kuasa bagi melepaskan besi buruk itu yang mendapat permintaan tinggi di beberapa negara selepas ia diproses semula.
Manakala serbuan di kilang di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam di sini pada jam 9 pagi pula mendapati pekerja terbabit yang kebanyakannya warga asing terkejut apabila digempur MATF dan dikawal rapi ACTS.
Tinjauan di kawasan kilang itu mendapati timbunan besi buruk dilonggok di dalam premis di mana ada yang sudah siap diproses semula dan dijadikan seperti bentuk kiub dan ada masih dalam keadaan asal.
Menurut sumber, serbuan ini membabitkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu disyaki terbabit dalam kegiatan itu.
"Siasatan awal mendapati sindiket menyeludup keluar besi-besi ini untuk dieksport ke India, China dan beberapa negara lain namun diikrarkan sebagai barangan jentera serta logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport sebanyak 15 peratus sebagaimana dasar ditetapkan kerajaan.
"Bagi memastikan besi-besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket itu dipercayai merasuah beberapa pegawai penguat kuasa," katanya.
Menurutnya, tindakan penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket ini menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta setahun sejak enam tahun lalu atau keseluruhannya dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta.
Sumber berkata, siasatan masih berjalan dan jumlah sitaan serta tangkapan akan dimaklumkan SPRM hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai serbuan dijalankan di lima negeri berkenaan yang membabitkan pengilang dan syarikat mengeksport besi ke luar negara.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menurutnya, siasatan turut memberi fokus bagi mengenal pasti individu terbabit termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan itu.
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register