|
|
Calon PM: Tuan Ibrahim tolak, Mohd Amar kata "saya boleh"
Oleh Noorazura Abdul Rahman - September 13, 2025 @ 3:13pm
Naib Presiden - YB Ustaz Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah
YAN: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Pemuda PAS yang menamakannya sebagai calon Perdana Menteri untuk mewakili Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden PAS itu berkata, parti berkenaan mempunyai ramai tokoh lain yang jauh lebih layak dan berwibawa untuk diberi peluang memimpin negara.
"Ramai lagi calon lain. Dalam PAS ni ramai tokoh-tokoh yang hebat-hebat, jauh lebih hebat daripada saya.
"Mereka ni sebenarnya kalau diberi peluang, insya-Allah rakyat akan nampak kejayaan," katanya selepas merasmikan Sidang As Sabiqun PAS Pusat di Guar Chempedak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim memberi contoh kejayaan tokoh PAS yang diberi kepercayaan sebelum ini antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Sebelum ni, Sanusi bukanlah tokoh dikenali dalam konteks politik Malaysia. Dia dulu setiausaha politik arwah Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah), tapi bila kita letak sebagai Menteri Besar, tengoklah bagaimana kejayaannya.
"Sama juga dengan Dr Samsuri, siapa kenal dia sebelum ini. Tapi bila diberi peluang, kita nampak dia berjaya," katanya menegaskan lebih selesa melihat tokoh lain dalam PAS ditonjolkan terlebih dahulu.
Semalam, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon utama Perdana Menteri mewakili PN sekiranya gabungan itu diberi mandat memimpin negara.
Afnan Hamimi menyifatkan Tuan Ibrahim sebagai tokoh berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.
Selain Tuan Ibrahim, beliau turut menyenaraikan beberapa nama lain daripada PAS yang dilihat berpotensi termasuk Muhammad Sanusi, Samsuri dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ketika mengulas isu sama menegaskan parti itu mempunyai banyak pemimpin untuk ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri.
"Mengapa tak ada (calon PM), saya boleh jadi Perdana Menteri, apa masalahnya... cuma kita tengok apa keperluan kita menyebut calon Perdana Menteri (ketika ini).
"Bagi PAS kami sejak dahulu lagi memang tak pernah menampilkan 'poster boy' sebab kepentingan kita adalah fokus untuk menang.
"Apabila menang sesiapa (yang) layak dipilih... sebab isu Perdana Menteri atau Menteri Besar ini parti hanya boleh cadang, tapi yang tentukan Agong dan Sultan, jadi kita kena hormat juga sensitiviti itu," katanya.
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|