|
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke suku akhir Masters China 2025 selepas menewaskan pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu, sebentar tadi. Beraksi di Shenzhen Arena, Tang Jie-Ee Wei bermula garang apabila mudah meraih kemenangan di set pertama 21-13 namun tampak hilang rentak di set kedua apabila pihak lawan bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 21-13. Aksi sengit berterusan dalam set penentuan sebelum pasangan negara yang juga juara dunia 2025 itu memastikan kemenangan dengan keputusan 21-16, sekali gus menamatkan pertarungan selama satu jam tiga minit. Kejayaan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengekalkan rekod bersih dalam empat pertemuan ke atas gandingan Indonesia itu kepada 4-0, termasuk kemenangan dalam pertemuan terakhir mereka di pusingan kedua Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu. Dalam aksi berkenaan, Tang Jie-Ee Wei turut diuji hebat sebelum mencatat kemenangan 14-21, 21-19, 21-17 dalam tempoh satu jam lapan minit.
Untuk rekod, pada edisi Masters China tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada gandingan tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 18-21, 13-21. Sementara itu, satu lagi pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, gagal meneruskan kemaraan selepas tersingkir di pusingan kedua kepada pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan, dalam aksi tiga set 6-21, 21-16, 12-21.
|