2 maut dalam serangan di rumah ibadat Yahudi di UK Menteri Dalam Negeri Britain, Shabana Mahmood; Datuk Bandar Greater Manchester, Andy Burnham dan Ketua Majlis Bandaraya Manchester, Cllr Bev Craig, menyapa pegawai polis sebaik tiba di Crumpsall Lane untuk membuat kenyataan, selepas seorang lelaki merempuh pejalan kaki dengan kereta dan menikam seorang pengawal keselamatan dalam serangan di sebuah rumah ibadat Yahudi. - Foto REUTERS
MANCHESTER: Seorang penyerang mengamuk dengan pisau di luar sebuah rumah ibadat Yahudi di sini, sehingga membunuh dua mangsa dan mencederakan tiga lagi, sebelum ditembak mati.
Terdahulu, suspek merempuh kereta ke arah orang ramai di luar rumah ibadat itu yang sesak di Britain, sempena cuti keagamaan semalam. Polis menembak mati suspek yang dikenal pasti sebagai warga Britain berketurunan Syria, selain menahan tiga individu lain dalam serbuan beberapa jam selepas tragedi di Manchester itu.
Serangan berlaku ketika masyarakat Yahudi di seluruh dunia menyambut Yom Kippur, hari suci paling penting dalam kalendar Yahudi. Polis di bandar barat laut England mengesahkan dua yang mangsa terbunuh ialah lelaki berketurunan Yahudi, manakala tiga lagi yang cedera parah sedang dirawat di hospital.
Bahagian anti keganasan turut mengisytiharkan kejadian itu sebagai 'serangan pengganas'. Menurut Polis Greater Manchester (GMP), tiga suspek yang ditahan ialah dua lelaki berusia 30-an dan seorang wanita berusia 60-an, yang kini dalam tahanan kerana disyaki terbabit dalam perancangan dan penghasutan tindakan pengganas.
Suspek utama memakai 'vest yang menyerupai bahan letupan', namun polis menjelaskan semalam bahawa ia tidak berfungsi. Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, memendekkan penyertaannya dalam sidang kemuncak Eropah di Denmark, untuk mempengerusikan mesyuarat kecemasan di London. Seorang juruteknik forensik bekerja berhampiran mayat seorang lelaki yang dipercayai penyerang, di lokasi kejadian selepas laporan insiden sebuah kereta merempuh pejalan kaki dan serangan tikaman di luar sebuah rumah ibadat Yahudi, di utara Manchester, Britain. - Foto REUTERS
Beliau mengumumkan langkah meningkatkan kawalan keselamatan di rumah ibadat Yahudi seluruh UK.
Dalam kenyataan yang disiarkan televisyen, beliau memberi jaminan kepada masyarakat Yahudi bahawa kerajaan akan melakukan segala upaya untuk memastikan keselamatan yang sewajarnya.
Beliau menegaskan walaupun antisemitisme bukan sesuatu yang baharu, hakikatnya mesti jelas bahawa ia kembali meningkat, dan Britain mesti sekali lagi menewaskannya."
Ketua Polis, Stephen Watson, mengesahkan dua anggota masyarakat Yahudi telah terkorban, sambil menambah pegawai menembak mati penyerang itu dalam masa tujuh minit selepas panggilan kecemasan pertama diterima.
"Pemandu kereta itu dilihat menyerang orang ramai dengan pisau" sambil memakai vest bom palsu," kata Watson. Polis memuji tindakan pantas orang awam yang segera melaporkan kejadian, sekali gus menghalang suspek daripada memasuki rumah ibadat berkenaan.
Seorang saksi memberitahu BBC Radio bahawa dia melihat polis menembak lelaki itu selepas kereta terbabit terbabas. "Mereka memberinya beberapa amaran, tetapi dia tidak mengendahkan sehingga polis melepaskan tembakan," katanya. - AFP
|