Dua gol Kipre hadiahkan Penang FC kemenangan sulung
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Oktober 4, 2025 @ 7:51pm

Kipre (kanan) muncul wira selepas menjaringkan dua gol bagi membantu Penang FC menewaskan NSFC 2-1. - Foto MFL
GEORGETOWN: Penantian Penang FC untuk meraih kemenangan sulung Liga Super musim ini berakhir selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.
Tchetche Kipre muncul wira pasukan apabila dua jaringannya berjaya menghadiahkan tiga mata berharga buat skuad Harimau Kumbang yang bergelut dengan empat kekalahan dan satu keputusan seri dalam enam perlawanan sebelum ini.
Kipre membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 apabila tenang menyempurnakan hantaran kapten, Stefano Brundo hasil gerakan set-piece bersama Dylan Wenzel-Halls.
NSFC nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-16 namun peluang keemasan Jovan Motika ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Khairulazhan Khalid dipersiakan begitu sahaja apabila rembatan derasnya melambung tinggi.
Penang hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-20 apabila percubaan OJ Porteria ditepis Azri Ghani sebelum Kipre melorongkan bola kepada Danilo Sipovac bagaimanapun rembatan pemain kelahiran Bosnia itu sekadar menggegar tiang.
Penang sekali lagi menggamatkan stadium pada minit ke-37 menerusi penyudah tenang Wenzel-Halls yang menyambut hantaran OJ Porteria namun jaringan itu tidak dikira selepas dia dikesan berada pada kedudukan ofsaid.
Bersambung babak kedua, skuad Jang hampir menyamakan kedudukan menerusi gerakan menarik tonggak Jepun, Takumi Sasaki tetapi malang apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti ditangkap kemas Khairulazhan.
Penang kembali menghukum lawan pada minit ke-49 apabila Kipre sekali lagi menjadi duri dalam daging skuad Jang selepas menggelecek melepasi Ariff Ar-Rasyid dan pemain gantian, Aidil Zailani, sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Azri Ghani buat kali kedua.
NSFC cuba bangkit dengan serangan bertali arus melalui Takumi Sasaki, Josep Esso dan Motika, namun mereka hanya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-89 selepas Faith Obilor tertampan bola ke gawang sendiri.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/10/1454196/dua-gol-kipre-hadiahkan-penang-fc-kemenangan-sulung
|